Thu04242014

LAST_UPDATEThu, 24 Apr 2014 11am

Mengaku Mahu Curi Motor

Suspek ditahan dibawa ke IPD Kulim untuk ujian air kencing / Pic: Sinar HarianSuspek ditahan dibawa ke IPD Kulim untuk ujian air kencing / Pic: Sinar HarianKULIM: Tujuh remaja ditahan di sebuah restoran makanan ringan di sini, kira-kira jam 2 pagi semalam, dipercayai terlibat dengan kes curi motosikal.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, tangkapan itu dilakukan polis dari Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) Ibu Pejabat Daerah Kulim (IPD) yang diketuai Sub Inspektor Mohd Najid Abd Aziz.

Menurutnya, ketika kejadian JPPJ sedang membuat rondaan cegah jenayah sebelum ternampak sekumpulan remaja duduk di sekitar kawasan tempat letak motosikal.

“Polis kemudiannya membuat pemeriksaan badan terhadap setiap remaja terlibat bagaimanapun seorang dari mereka kelihatan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri, namun suspek berjaya ditahan.

“Kami menemui alat besi berbentuk T dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal dalam poket hadapan sebelah kanan seluar suspek. Suspek mengaku hendak mencuri motosikal di kawasan itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila kami menahannya,” katanya.

Turut ditahan dalam operasi berkenaan ialah seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga mengaku sudah berhenti sekolah sejak tahun lalu.

Semua suspek yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kulim untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Ghuzlan turut menasihatkan ibu bapa supaya memerhatikan gerak-geri anak mereka supaya tidak terlibat dalam apa sahaja perlakuan jenayah yang membolehkan mereka ditahan.



- Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/mengaku-mahu-curi-motor-1.180062 




 

Template Design шаблоны Joomla