Thu08212014

LAST_UPDATEThu, 21 Aug 2014 12pm

60 Pesakit Dipindahkan Akibat Kebakaran Di Hospital Di Sarawak

KUCHING: Kira-kira 60 pesakit terpaksa dipindahkan dari bangunan Jabatan Perubatan Nuklear, Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila kebakaran berlaku di salah sebuah bilik di tingkat tiga, tengah malam kelmarin.

Menurut Ketua Operasi Bomba Sarawak Sabaruddin Mohammad, pasukan Bahan Berbahaya (HAZMAT) turut dikerahkan ke lokasi bagi memastikan tiada tumpahan dan kebocoran bahan berbahaya di kawasan tersebut.

“Pasukan HAZMAT mendapati tidak ada sebarang kebocoran bahan berbahaya berlaku,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Bomba yang menerima panggilan sekitar jam 12.26 pagi, tiba di lokasi pada jam 12.36 pagi.

Jentera-jentera bomba dari Balai Bomba Batu Lintang, Tabuan Jaya dan Padungan dikerahkan ke lokasi, dengan kekuatan 34 anggota termasuk 11 anggota HAZMAT.

Kebakaran yang melibatkan sebuah mesin penyahlembap itu berjaya dipadamkan sebelum api merebak ke mesin atau bahagian lain.

Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Para pesakit yang ditempatkan di tingkat atas bangunan itu dipindahkan ke bangunan lain buat sementara waktu.

Pengarah HUS Dr Abdul Rahim Abdullah turut kelihatan di lokasi kebakaran.