Sat10252014

LAST_UPDATESat, 25 Oct 2014 9am

KJ Sokong Jawatan Ketua Pemuda Dipertandingkan

Pic: The StarPic: The StarSEREMBAN: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau menyokong sepenuhnya cadangan agar jawatan Ketua Pemuda Umno dipertandingkan dalam pemilihan parti dijadual Oktober ini.

Katanya jika majoriti anggota parti mahukan demikian, pemilihan terbuka wajar diadakan bagi menghormati suara dan kehendak mereka.

"Saya menghormati pandangan dari akar umbi kalau mereka mahu jawatan Ketua Pemuda dipertandingkan, mengikut kepada pindaan perlembagaan parti kita," katanya kepada pemberita semasa mengadakan ziarah mesra ke kawasan perumahan Taman Pinggiran Senawang, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Pergerakan Pemuda Umno Johor dalam mesyuarat khasnya semalam, yang mahu pemilihan Pemuda Umno Pusat pada perhimpunan agung parti akan datang, dibuat secara terbuka dengan mempertandingkan semua jawatan.

Khairy yang menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno sejak 2008 turut menyangkal akan adanya perpecahan dalaman sekiranya jawatan itu dipertandingkan.

Katanya, walaupun parti kini dalam proses mengukuhkan perpaduan demi berbakti untuk rakyat, namun cadangan akar umbi yang mahukan pemilihan adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

"Tidak semestinya bila ada pertandingan parti kita akan berpecah, kalau kita ada niat yang baik, persetujuan daripada semua calon yang mahu bertanding bahawa pertandingan itu dibuat secara sihat, saya rasa itu tidak akan memecahbelahkan parti," kata Menteri Belia dan Sukan itu.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Umno, Khairy berkata masih terlalu awal untuk diputuskan perkara itu dan perlu menimbangkan pelbagai aspek termasuk pandangan rakan-rakan sebelum membuat keputusan.



- Bernama