Kalimah Allah: Gereja Katolik Dakwa Hak Penganut Kristian Dinafi

Pic:AntaraposPic:AntaraposKUALA LUMPUR: Ketua Paderi Gereja Katolik Malaysia mendakwa penganut Krisitian dinafikan hak keagamaan mereka kerana dilarang menggunakan kalimah Allah susulan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu.

Biskop Tan Sri Murphy Pakiam khususnya membantah tindakan mahkamah mengisytiharkan bahawa kalimah Allah bukan perkara teras dalam ajaran dan amalan Kristian.

Beliau berkata keputusan tiga hakim itu memberi impak kepada ratusan gereja di Semenanjung mengadakan majlis sembahyang dalam Bahasa Melayu, yang menggunakan kalimah Allah.

“Untuk menyimpulkan bahawa perkataan Allah tidak penting kepada agama Kristian adalah penafian serius hak penganut Krisitian untuk menggunakan Allah dalam doa, majlis sembahyang, Al-Kitab dan penerbitan lain,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan akhbar Kristian Herald dilarang menggunakan kalimah Allah kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Peguam Negara Tan Sri Gani Patail menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan hanya membabitkan larangan kalimah Allah kepada akhbar Herald.

Bagaimanapun keputusan mahkamah itu rata-rata ditolak oleh masyarakat Kristian. Gereja Katolik terbesar di Selangor mengarahkan semua majlis sembahyang hujung minggu lalu diadakan dalam Bahasa Melayu.

Majlis-majlis itu sarat dengan perkataan Allah dalam doa dan nyanyian lagu-lagu suci.

Murphy berkata keputusan mahkamah rayuan “seolah-olah menandakan penindasan” terhadap penganut Kristian.

Murphy berkata ratusan ribu penganut Kristian dari Sabah dan Sarawak menetap di Semenanjung dan mengikuti ajaran Kristian dalam Bahasa Melayu.

“Sebagai pemimpin agama yang komited, kami mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan keperluan agama mereka dalam bahasa kebangsaan,” kata beliau.

Beliau berkata hakim-hakim Mahkamah Rayuan terlanjur dalam merumuskan Allah bukan elemen penting dalam pegangan Kristian.

Murphy menjelaskan bahawa perkara asas ajaran Krisitian ialah kepercayaan kepada satu Tuhan yang mencipta langit dan bumi.

“Untuk berkurun lamanya, terjemahan Bahasa Melayu and bahasa Arab kepada Satu Tuhan adalah ‘Allah’, yang digunakan oleh penganut Kristian secara aman,” kata beliau.

=



-Antarapos
http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WkcZdfbA==