Sun07222018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 9pm

Nam Ron Dapat Pujian Bertutur Dalam Bahasa Melayu di New York

Kredit foto Kosmo!Kredit foto Kosmo!

Pengarah filem One Two Jaga: Crossroads, Nam Ron menerima pujian ramai kerana pendekatannya menjawab pertanyaan moderator dan penonton menggunakan bahasa Melayu, ketika di sesi apresiasi selepas tayangan filem berkenaan pada New York Asian Film Festival (NYAFF) di New York, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Memetik laporan Kosmo! Namron berkata, pada mulanya dia memang mahu mengulas dalam bahasa Melayu sepenuhnya namun dia akhirnya menjawab soalan-soalan diselang-selikan dengan Bahasa Inggeris kerana merasakan terjemahan yang dibuat oleh penterjemah ada yang kurang tepat.

“Ikut perancangan awal, saya memang mahu mengulas dalam bahasa Melayu sepenuhnya dengan menggunakan khidmat penterjemah tetapi diselang-selikan dengan bahasa Inggeris kerana merasakan terjemahan yang dibuat oleh penterjemah ada yang tidak benar-benar memberi maksud kepada ulasan saya,” katanya.

Dipuji bahkan dikatakan bukan hanya mengangkat filem Melayu bahkan bahasa Melayu di persada dunia, Nam Ron menyifatkan perkara itu suatu praktik tidak asing bahkan sesuatu yang membanggakan.

Katanya, ini bukan pertama kali dia menggunakan bahasa Melayu dalam sesi apresiasi filem dan teater dalam festival di luar negara.

“Kita patut berbangga dengan bahasa kebangsaan sebagai lambang indentiti kita. Orang luar akan lebih hormat kita jika kita guna bahasa kebangsaan.

Lagipun saya bukan penutur bahasa Inggeris, jadi apabila nak bercakap kena terjemah dalam kepala. Supaya tidak menyukarkan keadaan lebih baik guna bahasa Melayu, lagi pun memang ada penterjemah,” katanya.