Sun07222018

LAST_UPDATESat, 21 Jul 2018 9pm

Cabar Kuasa Kerajaan Iran Dengan Tarian

..

Di Iran, termaktub peraturan ketat di mana semua wanita wajib memakai hijab di hadapan khalayak. Menari di hadapan kaum lelaki juga dilarang, kecuali di hadapan muhrim atau anggota keluarga dekat.

Peraturan itu juga yang membawa kepada penangkapan sejumlah individu yang memuat naik klip video mereka sedang menari di media sosial.

Antara mereka yang sudah ditahan ialah Maedah Hojabri, seorang pengguna Instagram yang popular kerana gigih 'mencabar' kuasa kerajaan Iran.

Akaun Maedah yang memiliki lebih 600,000 pengikut dilaporkan digantung ekoran rakaman dia menari tanpa menutup kepala di kediamannya.

Sebagai tanda sokongan terhadap Maedah, sebahagian wanita Iran mula memuat naik video masing-masing dengan aksi menari juga.

Mereka berkongsi beberapa klip video dan mesej sebagai menyokong Maedah sambil mengiringi status berkenaan dengan menggunakan tanda pagar #dancing_isn’t_a_crime (menari bukan satu jenayah).

Kesannya, beberapa pengguna Instagram turut dilaporkan ditangkap sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Seorang penulis blog Hossein Ronaghi berkata: "Jika kamu memberitahu mana-mana orang di dunia ini bahawa gadis berusia 17 dan 18 ditahan kerana tarian mereka atau kegembiraan dan kecantikan kerana perbuatan tidak sopan sementara perogol kanak-kanak dan penjenayah lain masih bebas, pasti mereka akan ketawa mendengarnya. Memang ia terlalu sukar untuk dipercayai!”

Seorang pengguna Twitter pula menulis: “Saya menari agar (pihak berkuasa) boleh melihat dan tahu mereka tidak boleh merampas kebahagiaan dan harapan kami hanya dengan menangkap remaja dan gadis seperti Maedah.”

..

Ini bukan kali pertama seseorang yang mempamerkan tarian di Iran ditangkap atas perbuatan itu.

Awal tahun ini, seorang pegawai di bandar Mashhad ditahan selepas muncul rakaman menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita menari di sebuah kompleks beli belah, manakala enam orang lain ditahan kerana menari Zumba pada Ogos.

Pada 2014, enam remaja Iran yang memaparkan klip video mereka menari lagu penyanyi AS Pharrell Williams berjudul Happy di jalan raya dan bumbung bangunan di Tehran dihukum penjara sehingga setahun dan dikenakan 91 sebatan.