Thu07192018

LAST_UPDATEWed, 18 Jul 2018 11pm

Bukan Niat Nak Perli, Mempermainkan Agama

..

Aktres Sharifah Sakinah menyangkal tuduhan sesetangah pihak mengatakan telemovie lakonannya, Bini Aku Dari... mempersendakan agama Islam.

Berharap masyarakat tidak terus meletakkan persepsi negatif terhadap drama tersebut, Sakinah sebaliknya menyeru agar penonton menonton keseluruhan drama tersebut kerana karya itu mempunyai banyak mesej dan pengajaran.

"Kepada mereka yang sesuka hati kecam drama itu dan menganggap kami mempersendakan agama, tolong tonton cerita keseluruhannya sehingga habis dan serap mesej yang ingin disampaikan.

"Bukan menjadi niat kami untuk mempermainkan agama, memperli seperti apa yang anda sangkakan. Takkanlah kami berani nak buat begitu.

"Cerita itu mengandungi pengajaran dan moral walaupun karakter Lydia agak 'bengap' jadi kami boleh menyampaikan mesej menerusi cara yang ringan dan menyeronokkan," tulisnya di Instagram.

Katanya lagi, sikap itu mempunyai persamaan dengan wataknya yang digambarkan sebagai seorang yang naif, 'bimbo' dan hanya pandai membuat andaian mengenai perihal agama berdasarkan internet.

"Lydia ini bengap, 'lenge' ala-ala naif yang tidak memperdulikan untuk belajar mengenai agama dan hanya membuat andaian dengan fakta dan fatwa dari Google.

"Lepas tu, dia sangat ekstrem tanpa guru yang betul atau membuat kajian mendalam, dengar pun separuh-separuh. Macam penonton yang serang inilah tengok pun agaknya separuh-separuh," ujarnya.

..

Bagaimanapun, Sakinah berkata ketika membawa watak itu dia tidak pernah membayangkan dirinya sebagai seorang pelawak tetapi pelakon yang cuba menzahirkan karakter Lydia sebaik mungkin.

"Pertamanya, saya melihat diri saya sebagai seorang pelakon berbanding pelawak jadi bukan niat saya untuk membuat lawak semberono.

"Saya gembira jika penonton terhibur dengan jalan cerita dipaparkan dan mengambil iktibar daripada mesej yang kami cuba sampaikan," jelasnya.

Selain Sakinah, Bini Aku Dari... turut menampilkan barisan pelakon seperti Aiman Hakim Ridza, Ungku Hariz, Fiza Thomas dan Sharifah Shahora. Telfilem arahan Helmy Yusof ini ditayangkan pada 17 Jun lalu di saluran Astro Warna.