Thu07192018

LAST_UPDATEWed, 18 Jul 2018 11pm

Juzzthin Tak Boleh Lupa Tragedi Hidung Cedera di Petang Raya

..

Penyanyi rap Juzzthin memberitahu insiden dia mengalami kecederaan pada bahagia hidung cedera di petang menjelang Syawal merupakan pengalaman akan dikenang setiap kali menyambut Aidilfitri.

Menurut Juzzthin atau nama sebenarnya Mohamad Nazreen Norzali, 27, kejadian itu berlaku ketika dia sedang bermain bola bersama bapa saudaranya sementara menanti waktu berbuka puasa.

"Masa zaman kecil ada satu insiden berlaku pada saya di petang raya. Sementara nak tunggu azan dan waktu berbuka, saya main tanduk-tanduk bola bersama pakcik saya.

"Nak dijadikan cerita, entah macam mana bola tu terkena batang hidung saya dan masa tu azan maghrib pun berkumandang. Akibatnya hidung saya cedera.

"Esoknya apabila pergi ke masjid untuk bersembahyang raya, saya rasa masa tu saya seorang lah yang paling tak handsome sebab hidung berbalut.

"Sejak itu sampai sekarang saya tak main bola, tapi lagipun saya memang tak minat sangat bermain bola," tuturnya ketika diajak berkongsi nostalgia raya.

Penyanyi yang dikenali menerusi watak Zack dalam sitkom Oh My English ini berkata, dia akan menyambut raya di kampungnya yang terletak di Senaling Kuala Pilah

Setiap akan berada di kampung beberapa hari sebelum raya kerana sudah serik melalui pengalaman bertolak pulang ke kampung pada malam raya.

"Saya pernah balik malam raya, tak best. Tak sanggup rasanya apabila dengar lagu raya dan saya masih lagi memandu di lebuh raya.

"Di kampung saya, malam raya tu memang meriah. Lazimnya, saya dan kawan-kawan akan main mercun tetapi kami tetap utamakan keselamatan," katanya.

Dalam pada itu, Juzzthin berkata walaupun kini bergelar seorang artis namun dia masih menyambut Aidilfitri secara sederhana.

"Sama macam kebanyakan orang, saya sambut raya secara sederhana. Biasanya hari raya pertama dan kedua tu kami akan menziarah saudara mara di sekeliling kampung. Hari raya ketiga baru berkunjung ke rumah saudara yang jauh.

"Tidak lah banyak beza sebelum dan selepas menjadi artis. Cuma sekarang ni saudara lebih banyak bertanya kepada ibu tentang perkembangan kerjaya saya.

"Saya anggap pertanyaan itu sebagai tanda mereka ambil berat terhadap diri saya," ujarnya yang turut memberitahu menggemari juadah ketupat dan rendang ayam.