Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Hamil 3 Bulan, Lana Harap Kali Ini Dapat Anak Lelaki

..

Tahniah kepada pelakon popular Lana Nodin dan suami, Mohd Daud McKienzie yang bakal menimang cahaya mata kedua, pada Disember tahun ini.

Memetik laporan BH online, Lana memberitahu, usia kandungannya sudah mencecah tiga bulan.

"Saya dapat tahu diri ini hamil sejak bulan pertama lagi. Cuma saya belum bersedia hendak mengumumkannya lagi.

"Saya masih dalam fasa awal trimester... Bimbang kalau jadi apa-apa," katanya.

Sebelum ini, Lana tidak pernah bercerita mengenai kehamilannya atau memuat naik status mengumumkan dirinya berbadan dua.

Dalam pada itu Lana mengakui dia teringin menimang anak lelaki.

"Saya harap kali ini dapat anak lelaki... Barulah jadi sepasang. Mana tahu dapat anak berwajah macam suami pula.

Lana atau Mazlina Hasan Nodin dan Mohd Daud McKienzie yang juga rakyat Amerika Syarikat berkahwin pada 15 Mei 2015. Pasangan ini dikurniakan cahaya mata perempuan Gia Quinn McKienzie yang kini berusia 2 tahun.

Berkongsi mengenai pengalaman hamil kali kedua, pelakon yang pernah digelar 'Pamela Anderson Malaysia' ini berkata dia mengalami alahan waktu pagi agak teruk berbading ketika mengandungkan anak sulungnya dulu.

"Ketika mengandungkan Gia, alahan waktu pagi tidak ketara. Kali ini, lain macam teruknya. Suami saya juga terpalit sama, mengidam mangga masam setiap hari.

"Sejak mengandung saya kurang ke dapur. Sebelum ini, memang ligat saya ke dapur dan ramai tahu saya suka memasak dan berkongsi video di Instagram. Pendek kata, serba-serbi berlawanan apabila mengandung kali kedua," katanya.

Sepanjang Ramadan, jika tiada komitmen kerja dan urusan perniagaan, Lana selesa berbuka di rumah bersama keluarga.