Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Anuar Mohon Netizen Hormat Ziana, Henti Komen Yang Bukan-bukan

..

Penyanyi popular Anuar Zain meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir netizen yang seolah-olah tidak menghormati kakaknya Ziana Zain apabila sesuka hati menulis sesuatu di media sosial tanpa usul periksa.

"Netizen kadang-kadang menulis sesuatu di media sosial tanpa usul periksa dan saya boleh katakan kurang ajar. Mereka suka menulis bukan-bukan tanpa tahu hujung pangkal.

“Kalau boleh, hormatlah kakak saya dan situasi yang terpaksa dihadapinya sekarang,” katanya seperti yang dilapor Sinar Harian online.

Sebagai adik, Anuar berkata dia berasa kagum dengan semangat dan kekuatan yang ditunjukkan Ziana yang tabah berdepan dengan ujian getir dalam rumah tangga yang sudah dibina lebih 20 tahun lalu. Dia juga berharap segala kemerlut yang dihadapi Ziana dapat diselesaikan dengan baik.

Pada 3 April lalu, Ziana menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah selepas Armin enggan melafazkan cerai terhadap penyanyi tersebut.

Konflik yang tercetus dalam rumah tangga pasangan itu terbongkar apabila Armin didakwa kerana memukul salah seorang anaknya sehingga luka dan lebam dengan alasan untuk mengajar mengaji serta solat. Laporan polis mengenainya dilakukan sendiri Ziana di Balai Polis Bukit Jelutong dekat sini pada 27 Februari lalu sebelum suaminya itu ditahan pada 2 Mac lalu.

Manakala dalam sebutan kes di Mahkamah Majistret Shah Alam 14 Mei lalu, Armin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan pada anak lelaki mereka, Februari lalu.

Kes itu akan disebut semula pada 28 Jun depan.

Ziana dan Armin bernikah pada 9 Mei 1998 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.