Tue06192018

LAST_UPDATETue, 19 Jun 2018 2pm

Hafiz Lega Menang Saman, Nafi Guna Jalan Pintas Nak Kaya

..

Setelah lebih setahun berusaha mempertahankan hak dan melindungi namanya, akhirnya penyanyi Hafiz Hamidun lega apabila dia menang kes saman ke atas sebuah syarikat tekstil.

Hafiz memfailkan saman terhadap syarikat tekstil Kamdar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana salah guna namanya tanpa kebenaran pada Februari 2017.

"Alhamdulillah, setelah lebih setahun akhirnya mahkamah memutuskan saya memenangi kes ini pada Selasa lalu.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk melindungi nama saya yang sudah didaftarkan sebagai hak cipta dan trademark untuk perniagaan saya yang turut mengeluarkan beberapa produk berkaitan tekstil dan baju," katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.

Penyanyi yang popular dengan lagu Jodoh Berdua ini berkata, dia sudah membuat rundingan cara baik dengan syarikat berkenaan namun tidak mencapai kata sepakat.

Dalam pada itu, Hafiz mengakui dikecam teruk oleh netizen disebabkan kenyataannya sebelum ini untuk mengambil tindakan terhadap syarikat tersebut.

Katanya, usaha yang diperlekehkan itu sebenarnya menjadi pengajaran kepada semua pihak yang perlu melindungi hak mereka daripada disalahgunakan pihak tertentu.

..Dia juga menyangkal tindakan itu sebagai jalan mudah untuk menjadi kaya seperti didakwa netizen.

"Saya sedar ramai netizen yang kecam dan anggap saya 'poyo' dan memperlekehkan usaha saya dengan menganggap saya ambil jalan mudah untuk jadi kaya.

"Terpulang kepada mereka kerana apa yang saya lakukan hanya untuk mempertahankan hak saya sahaja," ujarnya.

Menurut Hafiz, mahkamah menetapkan Julai depan bagi memutuskan nilai tuntutan kepada pihak berkenaan.