Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Lee Seo Won Dituduh Laku Gangguan Seksual, Ancam Mangsa Dengan Senjata

..

Seorang selebriti Korea terlibat dengan gejala gangguan seksual. Terbaru, pelakon Lee Seo Won dituduh melakukan gangguan seksual dan dikatakan turut mengugut mangsa dengan menggunakan senjata.

Lapor JoongAng Ilbo, pihak polis Seoul Gwangjin mengesahkan pelakon berusia 21 tahun itu telah didakwa melakukan gangguan seksual pada 8 April lalu dan kini masih dalam siasatan sebelum kesnya dikemukakan kepada pihak pendakwaan.

Polis juga memberitahu mangsa gangguan seksual tersebut juga dikalangan selebriti dan kes ini telah dikemukakan ke Pejabat Pendakwa Daerah Seoul Timur awal bulan ini.

Menurut polis, semasa aktor tersebut sedang minum dengan selebriti wanita (dirujuk sebagai “A”), tiba-tiba Lee Seo Won cuba mencium serta melakukan serangan fizikal namun smepat ditolak oleh A. Apabila Lee Seo Won tetap cuba untuk melakukan perkara yang tidak sepatutnya, A meminta pertolongan teman lelakinya. Lee Seo Won dikatakan berang dengan tindakan A dan mengancamnya dengan senjata.

Pihak polis turut menyatakan kepada sumber, Lee Seo Won disiasat dalam keadaan yang mabuk dan turut menjerit kepada pegawai polis

Sementara itu, agensi pelakon tersebut, Blossom Entertainment mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas insiden yang mengaitkan artis mereka.

"Kami ingin memohon maaf di atas insiden memalukan yang melibatkan pelakon Lee Seo Won yang menjadi perhatian dan kebimbangan ramai. Pertamanya, kami tidak tahu mengenai situasi ini sehinggalah media inginkan pengesahan dari pihak kami. Setelah mendapat pengesahan atas apa yang berlaku dari Lee Seo Won, kami tahu ada sesuatu yang berlaku antara dia dan kenalannya selepas beliau di bawah pengaruh alkohol. Kami tidak dapat mengatakan apa lagi tentang kejadian ini. Kami benar-benar mohon maaf.

"Buat masa ini, pelakon Lee Seo Won sedar akan kesilapan yang telah dibuat di mana ianya telah menjadi perhatian ramai dek tindakannya yang memang tidak bermoral itu. Kami sekali lagi dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua dan kami akan memberikan kerjasama dalam penyiasatan kelak. Maafkan kami," kata wakil agensi.

Lee Seo Won sebelum ini pernah membintangi drama seperti Uncontrollably Fond, Hospital Ship, The Liar and His Lover dan terbaru About Time yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Beliau juga merupakan MC untuk rancangan carta muzik KBS – Music Bank.

Pada 16 Mei, produksi drama ‘About Time’ mengumumkan watak Lee Seo Won akan diganti dengan pelakon lain dan melakukan semula penggambaran memandangkan dia tidak dapat memberi komitmen kerana sedang disiasat.

Manakala wakil daripada produksi Music Bank juga memaklumkan pihak mereka akan berbincang dan memeriksa lagi kesahihan kes tersebut.