Fri05252018

LAST_UPDATEFri, 25 May 2018 9am

Awi Rafael Berhasrat Mahu Adakan Majlis Resepsi di IKIM

..

Bakal melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya pelakon Atikah Suhaime pada Mac tahun depan, penyanyi dan komposer Awi Rafael menyatakan keinginan mahu mengadakan majlis resepsi di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan menyifatkan lokasi tersebut istimewa baginya.

Menurut penghibur yang cukup terkenal dengan lagu Pulanglah ini, dia dan Atikah merancang mahu mengadakan majlis sederhana tetapi penuh bermakna untuk diraikan bersama para kenalan dan media di Malaysia.

"Saya seorang yang simple sahaja dan menginginkan sebuah majlis yang sederhana tetapi penuh bermakna buat kami berdua. Tak mahu pening dengan benda-benda remeh yang tak sepatutnya.

"InsyaAllah, selain majlis di Singapura, kami juga akan mengadakan majlis resepsi di Malaysia untuk kenalan di sini termasuk pihak media.

"Lokasi di Malaysia belum ditentukan lagi, tetapi Awi sebenarnya teringin sangat nak buat majlis kami di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kerana Awi rasa tempat itu sangat istimewa,"katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian online.

Pasangan yang berasal dari Singapura ini mengikat tali pertunangan pada 17 Mac lalu selepas menjalin hubungan rapat selama enam bulan.

Sementara itu, Awi mengakui dia tidak mahu lagi mengungkit tentang kontroversi yang pernah menimpa tunangannya, pelakon Atikah Suhaimi sebelum ini kerana mahu melalui fasa baru kehidupannya dalam suasana yang positif.

Sebagai lelaki dia sebolehnya mahu melindungi dan memberikan semangat baru agar Atikah tidak terus terbelenggu dengan kejadian lalu yang bukan berpunca daripadanya.

"Apa yang penting Awi dan mereka yang terdekat dengan dia tahu tentang kebenarannya, dan sama-sama jadikan pengajaran agar kehidupan akan datang jadi lebih baik.

"Kontroversi tetap kontroversi kerana ramai orang yang suka bercakap tentang benda yang mereka tidak tahu kebenarannya.

"Jadi Awi sentiasa menasihati dia agar menjadi seorang yang lebih positif tinggalkan benda-benda remeh yang tak mendatangkan kebaikan untuk dia,” katanya.