Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Langgar Perjanjian, Serina Bakal Berdepan Hukuman Penjara

..

Selebriti popular Serina Redzuawan bakal berdepan hukuman penjara selepas bekas suaminya Gavin Edward O’luanaigh memfailkan notis tunjuk sebab berhubung pelanggaran perintah persetujuan bersama.

 

Memetik laporan Harian Metro, Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 41, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) pada 17 April lalu selepas anak Chef Wan itu memuat naik beberapa status di Instagramnya, Mac lalu, sekali gus melanggar perintah persetujuan bersama yang dieksibitkan pada 27 Julai 2017.

Peguam Gavin, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pada prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi, memberitahu mahkamah bahawa permohonan tunjuk sebab itu dibuat berikutan Serina melanggar perjanjian yang dipersetujui bersama.

Zainul berkata, pada 19 Mac lalu, Serina memuat naik status di laman Instagram miliknya mendakwa Gavin cuba membuli dirinya sebagai ibu selepas tidak membenarkan dia berjumpa anaknya setiap hari sedangkan persetujuan bersama menetapkan responden hanya boleh berjumpa anaknya pada setiap hujung minggu.

Hari yang sama juga, Serina dengan cara yang sama turut menyatakan bekas suaminya itu bersekududukan hingga ditangkap khalwat sedangkan perkara itu adalah tidak benar.

“Pada 20 Mac, Serina memuat naik dua status yang memperlekeh dan memburukkan anak guam saya, dengan mendakwa anak guam saya cuba pisahkan dia dan anaknya di sekolah.

“Pada 21 Mac pula, Serina turut mendakwa Gavin menghalang anak-anak menghadiri kelas agama sedangkan kelas terbabit disediakan oleh pemohon sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Hakim Salehan Yatim menetapkan 21 Mei depan bagi mendapatkan kebenaran permohonan notis tunjuk sebab mengenai perkara itu selain turut membenarkan pemohon Gavin untuk tidak hadir pada tarikh terbabit.

Serina dan Gavin bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Tristan Tareef, 8, dan Isabella Saffiya, 6.