Sun06242018

LAST_UPDATESat, 23 Jun 2018 9pm

Jangan Terus Percaya Bulat-Bulat

..

Ketika ini, semua parti politik di tanah air sedang rancak berkempen dan meuar-uarkan manifesto masing-masing untuk mendapatkan sepenuh keyakinan rakyat Malaysia sebelum mereka memilih pada 9 Mei depan.

Namun, masyarakat dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah percaya dengan berita palsu yang disampaikan mana-mana pihak terutama menerusi media sosial yang sering menyebarkan berita atau maklumat berlawanan daripada hakikat berita sebenar.

Tidak dinafi, hari ini ramai orang mudah mempercayai dan terpengaruh dengan propaganda yang sememangnya bertujuan menghasut rakyat membenci kerajaan.

Misalnya pada tahun 2015, sebuah blog tempatan telah menyebarkan mengenai gambar rakyat Bangladesh di KLIA, menuduh mereka dibawa masuk untuk mengundi. Bagaimanapun seorang pekerja ladang menafikan dakwaan tersebut, menyatakan mereka adalah pekerja yang dibawa masuk untuk bekerja di ladang sebagai pemetik kelapa sawit.

Seiring dengan matlamat untuk mengekang gejala buruk tersebut, baru-baru ini Barisan Nasional menerusi laman sesawang rasmi www.barisannasional.org.my/fitnah/ mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fitnah dan penyebaran berita palsu yang dikitar semula atau informasi yang sengaja dibuat-buat oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab pada saat akhir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

..

Sebaliknya masyarakat perlu bijak menilai, teliti dan mendapatkan informasi yang benar-benar sahih sebelum mempercayai satu-satu berita yang diterima, disampaikan mahupun di dengar daripada mana-mana pihak ataupun diviralkan di media sosial.

Terdahulu media tempatan melaporkan, Akta Anti-Berita Tidak Benar telah berkuatkuasa sejak 11 April lalu. Akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Pada 17 April lalu, personaliti popular Neelofa bersama sekumpulan selebriti tempatan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai isu buli siber dan penyebaran berita palsu. Pelbagai pihak menyokong dan menyambut baik atas keprihatinan dan kesungguhan para artis yang terlibat dalam melawan buli siber dan penyebaran berita palsu.