Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Nabil 'Kongsi Rezeki' Ajak Peminat Tunai Umrah

Pejam celik pejam celik, sudah 10 tahun pelawak dan pengacara Ahmad Nabil, 35, membina karier dalam industri hiburan tanah air.

Reputasi cemerlangnya dalam mengukuhkan nama dan populariti meletakkan Nabil sehingga tahap hari ini.

Juara Raja Lawak musim kedua dan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2009, semuanya pernah dalam genggaman.

Siapa sangka, daripada budak kampung yang dulunya suka menyimpan angan-angan, pengacara MeleTOP dan Gegar Vaganza itu menempa kejayaan apabila dipilih sebagai hos karpet merah Anugerah Akademi ke-89 atau Oscar di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun lalu.

"Alhamdulillah, sudah 10 tahun dalam industri, saya pernah berada di atas dan pernah jatuh. Semua pengalaman termasuk kontroversi yang pernah melanda diri saya banyak mengajar saya.

"Walaupun sudah di tahap ini, saya akui saya masih lagi belajar dan mahu terus belajar memperbaiki diri dan saya mahu memberikan sesuatu kepada industri.

"Saya tidak terfikir untuk bersara sebaliknya saya harap kerjaya saya akan terus bertahan untuk mungkin 20 tahun lagi," katanya ketika ditemui pada sidang media Sedekad 'My Story' Nabil Ahmad Dalam Industri, bertempat di hotel Sunway Putra, sebentar tadi.

Sempena meraikan ulang tahun kerjayanya, Nabil mahu 'berkongsi rezeki' dengan peminat yang tidak putus-putus mendoakan kejayaannya.

Dia berbesar hati mahu mengajak peminatnya mengerjakan umrah di tanah suci Mekah bersamanya pada awal Ramadhan nanti.

Tawaran dibuka hari ini dan nama peminat yang terpilih mengerjakan umrah bersama Nabil akan diumumkan pada Majlis Ulang Tahun ke-10 pada 24 Mac ini.

Program My Umrah Story Bersama Nabil akan dikendalikan syarikat pengurusan Urban Platinum Resources.

Mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian hotline 019-3816252 @ layari facebook, myumrahstory dan instagram @myumrahstory.

- mD