Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 8pm

Naik Pelamin 18 Mac Ini, Elvina Bakal Bergelar Datin Muda

..

Pelakon drama Shhh... I Love You, Elvina Mohamad, bakal melangsungkan perkahwinan dengan usahawan dan selebriti sukan permotoran, Datuk Mohd Haniff Borhan, 31, pada 18 Mac ini.

Memetik laporan BH online, Elvina atau nama penuhnya Norzalina Mohamad, 23, memberitahu majlis pernikahan akan diadakan secara ringkas di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, jam 3 petang.

Pasangan berkenaan juga akan hanya ditunangkan kira-kira sejam sebelum akad nikah berlangsung.

Katanya, beliau terbuka hati untuk mengakhiri zaman bujang pada usia muda berikutan bakal suaminya dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu menjadikannya sebagai isteri.

"Saya percaya, soal jodoh adalah ketentuan Yang Maha Kuasa. Cepat atau lambat bukanlah kita yang menentukannya.

"Saya juga berasakan keputusan untuk berkahwin ini bukan penghalang kepada kerjaya seni, sebaliknya saya yakin ada rahmat menanti pada hari nan mendatang," katanya.

Selain mendapat restu daripada kedua ibu bapa dan keluarga, pihak pengurusannya iaitu MindOrder Sdn Bhd juga tidak menghalang keputusannya itu.

Sementara majlis resepsi pula akan diadakan di lokasi sama pada 24 Mac. Pada majlis itu nanti, Elvina bakal menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan. Bagaimanapun, mereka memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.

Mengakui belum puas membina nama di persada seni, bakat kelahiran Teluk Intan, Perak, itu berkata, aktiviti lakonannya berjalan seperti biasa selepas majlis perkahwinannya nanti.

Malah, dua hari selepas bernikah, Elvina akan menjayakan penggambaran drama 26 episod, Bila Tuhan Berbisik, bergandingan dengan Datuk Awie dan Hazama, untuk siaran TV3.

Memandangkan bakal suami juga sibuk dengan urusan perniagaan dan aktiviti perlumbaannya, Elvina berkata, perancangan untuk berbulan madu mereka terpaksa di tangguhkan.