Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Nora, Suami Semakin Teruja Tunggu Ney Ney Lahir

..

Aktres, Nora Danish, 35, dilaporkan hanya menunggu masa untuk melahirkan anak keduanya, minggu ini, lebih awal daripada jangkaan sebenar.

Memetik laporan BH online, mengikut perkiraan doktor, bintang Makrifat Cinta itu dijangka bersalin pada 9 Mac depan.

Berita gembura tersebut dikongsikan suaminya, Nedim Nazri menerusi akaun Instagram (IG) miliknya pada status yang turut memuatkan gambar kenduri doa selamat, malam tadi.

"Doa selamat buat isteri tercinta & Ney Ney (nama timangan untuk bayi dalam kandungan). Insya-Allah agar selamat melahirkan kandungan pada minggu ini," katanya.

Pada gambar yang mendapat lebih 23,000 'like' itu, kelihatan sekumpulan pelajar tahfiz turut diundang ke majlis yang diadakan di kediaman pasangan terbabit.

Bekas mentua Nora, Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dan Tan Sri Ramli Ngah Talib yang dilihat melawat pelakon terbabit, semalam, juga tidak ketinggalan mendoakan pelakon berkenaan.

Pada masa sama, walau dalam debaran menanti kehadiran 'orang baharu', Nora sempat memaklumkan anak sulungnya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 9, tidak sabar bertemu dengan si kecil.

Beliau juga membalas komen mereka yang memberikan kata-kata semangat dan mendoakan dirinya dipermudahkan sepanjang urusan bersalin serta berpantang nanti.

"Anak lelaki saya yang berusia sembilan tahun tidak sabar menunggu Ney Ney," katanya.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu. Menerusi perkahwinan terdahulu, masing-masing dikurniakan seorang anak lelaki.

Sementara itu, beliau juga tidak mampu menyembunyikan rasa teruja menerima barangan berupa set berpantang apabila memuatnaik hadiah itu menerusi Insta Story.