Thu06212018

LAST_UPDATEThu, 21 Jun 2018 8pm

Keluarga Elfira Sudah Pulangkan Cincin

..

Selepas berdiam diri, akhirnya penyanyi Sufian Suhaimi mengesahkan ikatan pertunangan dia dan pelakon Elfira Loy sudah putus mengikut adat.

Memetik laporan BH online, Sufian memberitahu, bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin datang memulangkan cincin pertunangan kepada keluarganya di Muar, Johor, kelmarin.

"Semuanya selesai penuh adat. Saya hendak ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang peduli mengenai kami dan yang mendoakan baik-baik untuk kami," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan ibu Elfira, Filzah Yusoff yang mengesahkan anaknya itu sudah putus tunang dengan penyanyi lagu Terakhir itu.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober tahun lalu. Jika mengikut perancangan awal, mereka bakal disatukan, awal bulan depan.

Dalam pada itu, Sufian berkata, dia enggan memanjangkan cerita mengenai kisah pertunangannya yang putus kerana percaya jodoh mereka hanya sampai setakat itu.

Sebaliknya, kata Sufian, dia mahu terus fokus dengan apa yang dilakukannya sekarang serta mengubat kekecewaan dengan berkarya.

"Ada pepatah Inggeris menyebut 'a broken heart creates a masterpiece'. Jadi saya akan cuba kongsi melalui lagu," katanya.