Sun07222018

LAST_UPDATESun, 22 Jul 2018 3pm

Nyaris Rosakkan Acara, Cubaan Iqram Naik Pentas Bukan Gimik AJL32

..

Perjalanan acara Anugerah Juara Lagu ke 32 (AJL32) pada malam Ahad lalu nyaris kucar-kacir gara-gara kelakuan artis kontroversi, Iqram Dinzly yang didakwa beberapa kali membuat percubaan mahu menceroboh pentas anugerah itu ketika siaran langsung.

Menurut laporan mStar online, penerbit Eksekutif, Nurhul Huda Khalid berkata, pihaknya terkejut apabila mendapati Iqram beberapa kali membuat percubaan untuk mamasuki kawasan pentas ketika lagu Amboi nyanyian Altimet didendangkan.

Bagaimanapun atas tindakan pantas petugas TV3 berjaya menghalang pelakon itu meneruskan niatnya untuk muncul diatas pentas.

"Kehadiran Iqram bukan dalam perancangan kami atau sengaja kami buat gimik. Saya sendiri terkejut selepas diberitahu oleh pihak pengurus pentas bahawa dia cuba naik ketika persembahan Altimet tapi berjaya dihalang kerana perkara itu dikhuatiri menjejaskan pertandingan.

"Satu kerja pula dia (pengurus pentas) kena jaga Iqram sepanjang persembahan Altimet itu untuk memastikan hasratnya naik pentas dapat dielakkan," ujarnya

Beliau berkata demikian sekaligus mengulas luahan Altimet yang bengang selepas mandapat tahu Iqram mahu menceroboh pentas AJL32 ketika dia membuat persembahan.

Kata Nurhul Huda, pihaknya mengetahui kehadiran Iqram selepas dimaklumkan dia menjadi tetamu jemputan untuk program Tonton Extra pada acara karpet merah sebelum petandingan itu bermula.

Bagaimanapun, katanya Iqram berjaya juga naik ke pentas pada persembahan penutup iaitu ketika Hael Hussaini menyanyikan semula lagu Jampi selepas diumumkan sebagai pemenang anugerah itu.

"Iqram berjaya naik pada waktu penutup, masa itu kami (pihak produksi) semua sudah sibuk dan tidak perasan dia berada di pentas. Nasib baik juga dia naik pada penutup tidak menganggu fokus penyanyi ketika membuat persembahan.

"Ia juga satu pengajaran kepada pihak kami agar lebih berhati-hati selepas ini," ujarnya.