Thu02222018

LAST_UPDATEWed, 21 Feb 2018 10pm

Bapa Iesya Toh Dikebumikan Dalam Ihram

..

Bapa bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia, RTM, Iesya Toh, Sanny Toh bin Abdullah, 65, dilaporkan meninggal dunia di Madinah kira-kira jam 6 pagi (jam 11 pagi waktu Malaysia), semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, allahyarham Sanny Toh telah mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital Madinah selepas rebah ketika menuju ke Makkah bagi menunaikan ibadah umrah.

Menurut Iesya, arwah ayahnya akan disolatkan di Masjid Nabawi dan dikebumikan dalam ihram selepas solat Jumaat di tanah Baqi'.

"Assalamualaikum sahabat, mohon sedekahkan Al-Fatihah buat abah kami, Sanny Toh Bin Abdullah yang telah menghadap Ilahi ketika dalam ihram di Madinah sebelum bertolak ke Makkah.

"Mohon ampun segala dosa, salah silap abah, jika ada terkasar bahasa, terguris hati, halalkan makan minum abah serta jika ada hutang, mohon dihalalkan atau hubungi saya," jelasnya.

Tambah Iesya atau nama sebenarnya Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 35, ibunya yang turut menunaikan umrah bersama arwah abahnya dijangka pulang ke tanah air pada 14 Februari ini.

"Saya dah tengok gambar arwah abah, alhamdullillah abah senyum. Walaupun sedih tapi kami tahu abah istimewa dan ini rezeki abah," katanya.