Tue01162018

LAST_UPDATETue, 16 Jan 2018 7pm

"Farid Tertekan, Dah Lama Tak Jumpa Anak" - Adik

Farid Kamil selepas dibawa keluar dari mahkamah, hari ini. Farid Kamil selepas dibawa keluar dari mahkamah, hari ini.

Satu Malaysia ketika ini sedang hangat memperkatakan mengenai kes pelakon terkenal, Datuk Farid Kamil yang mengamuk di Balai Polis Kota Damansara semalam dan lebih mengejutkan suami kepada aktres Diana Danielle itu disahkan positif dadah jenis ganja.

 

Hari ini, Majistret Zaki Asyraf Zubir mengeluarkan perintah reman terhadap pelakon berusia 37 tahun itu selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Selepas pendedahan demi pendedahan, satu lagi berita mengejutkan apabila adik Farid iaitu pelakon Fadzil Zahari mendakwa abangnya itu berkemungkinan mempunyai masalah mental lantaran tekanan perasaan.

Lapor Utusan, Fadzil berkata, dia ada bertemu dengan abangnya tiga hari sebelum ditahan dan Farid memaklumkan dia terlalu rindukan dua anaknya yang sudah lama tidak berjumpa iaitu Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.

"Dia beritahu saya bahawa dia sudah lama tidak berjumpa dengan dua anaknya. Dia kelihatan murung namun saya tidak sangka dia bertindak sebegini.

"Dia mungkin mengalami masalah mental dan tekanan perasaan. Kami sekeluarga akan memberi sokongan mental terhadapnya termasuk membawanya berjumpa doktor pakar,” katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kenyataan yang dibuat oleh Fadzil itu sekali gus mengundang tanda tanya dan spekulasi kalangan netizen mengenai status perkahwinan Farid dan Diana. Lebih-lebih lagi sebelum ini kisah rumah tangga pasangan selebriti pernah mencetuskan kontroversi kononnya mereka tidak lagi sebumbung.

Bagaimanapun baik Diana mahupun Farid menegaskan mereka sekeluarga menjalani hidup bahagia bersama anak-anak mereka.