Sat01202018

LAST_UPDATESat, 20 Jan 2018 10pm

Bekas Model (ANTM5) Ini Pernah Masuk Wad Mental, Cuba Bunuh Diri

..

Tidak hanya pernah dimasukkan ke wad psikiatri selama seminggu malah model dan pelakon Alicia mengaku dia pernah cuba membunuh diri pada awal tahun lalu.

Menerusi laman Instagram, Alicia atau Raja Alicia Raja Amin, 22, berkata, kejadian itu berlaku selepas dia tamat menjalani penggambaran program Asia's Next Top Model (ASNTM) musim kelima.

"Saya pernah bangun tidur di wad psikiatri dan terpaksa tinggal di sana selama seminggu kerana saya cuba membunuh diri tapi gagal pada awal 2017. Saya tidak pernah bercakap tentang perkara ini.

"Ia terjadi selepas tamat penggambaran ASNTM tetapi tidak siapa yang tahu, sebelum saya berpindah ke Melbourne dan saya belajar untuk berdiri untuk diri sendiri dan perkara-perkara yang saya percaya akan beri memberi inspirasi pada orang lain yang berasa seperti mereka dalam kegelapan.

"Enam bulan kemudian saya ambil gambar ini di Pulau Tenggol (Terengganu) dan belajar betapa sukarnya fotografi bawah air," tulis Alicia seperti yang dilaporkan mStar online.

Pelakon drama Meh Sandar Lagi ini juga memberitahu semua akan melalui kesukaran serta kejahatan yang berbeza namun mereka perlu bertahan dan jangan menyerah kalah terlebih dahulu.

Kata Alicia berbekalkan kepercayaan, kemaafan dan kebaikan daripada dan kepada diri sendiri akan dapat membantu segalanya menjadi lebih baik.

"Saya tak boleh janji pada awak yang semuanya akan berjalan seperti awak inginkan, sebab kehidupan ini tidak boleh dijangka.

"Kita semua akan lalui kesukaran yang berlainan, kejahatan berbeza tetapi saya menggesa anda untuk bertahan lebih lama sedikit.

"Biarkan diri anda dengan beberapa kesilapan lagi dan katakan pada semua yang anda boleh, sebelum anda berfikir untuk menyerah.

"Anda akan terkejut dengan sedikit kepercayaan, kemaafan dan kebaikan akan bantu segalanya menjadi lebih baik," ujarnya.

Dalam Pada itu, Alicia juga sentiasa mengingatkan semua orang bahawa setiap wanita mempunyai hak dan mereka sepatutnya berasa bangga dengan fizikal yang dikurniakan.