Mel B (Spice Girls) Tarik Balik Tuduhan Terhadap Bekas Suami

  • Print

..

Los Angeles: Selebriti Mel B dan bekas suaminya, Stephen Belafonte dilaporkan sudah mencapai persetujuan berhubung tuduhan keganasan domestik yang dikemukakan wanita itu.

Menurut peguam kedua-dua pihak, persetujuan itu dicapai beberapa hari sebelum kes perceraian mereka dibicarakan di mahkamah, semalam.

Mel B yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Spice Girls mengemukakan permohonan bercerai pada 20 Mac lalu, menuduh Belafonte melakukan penderaan fizikal dan emosi sepanjang tempoh 10 tahun perkahwinan mereka.

Berikutan itu, perbicaraan yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Los Angeles dibatalkan, dan Hakim Mark Juhas turut menarik balik permohonan perintah larangan yang dikemukakan oleh Mel B terhadap Belafonte.

Menurut peguam Belafonte, Grace Jamra, pasangan berkenaan juga sudah mencapai persetujuan berhubung hak penjagaan anak perempuan mereka, Madison, 6 tahun.

Dalam pada itu, Mel B yang turut menghadiri perbicaraan di mahkamah, semalam, enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu. - AFP