Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12pm

Izara Aishah Tetap Pegang Prinsip

..

Kurang lebih sebulan lagi aktres jelita Izara Aishah bakal bergelar isteri kepada dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza, Adib Khalid.

 

Menerusi laporan Berita Harian, bintang drama Dia ini sekarang sibuk membuat persiapan majlis hari bahagianya. Dia turut dibantu oleh perancang perkahwinan.

Difahamkan pasangan ini akan mengadakan tiga majlis.

"Majlis sebelah saya diuruskan Rizalman manakala sebelah Adib dikendalikan Nas Great Ideas.

"Setakat ini, semua persiapan lancar. Syukur ada yang membantu, kalau buat sendiri, pening jadinya," katanya.

Mengikut perancangan, majlis nikah dan bersanding akan diadakan pada 17 November depan. Majlis menyambut menantu bagi pihak pengantin lelaki diadakan dua hari kemudian.

Izara mengaku sudah lama bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.

"Semuanya berbalik kepada rezeki dan jodoh. Alhamdulillah, ia dipermudahkan. Kita buat dan pikul tanggungjawab ini bila mampu," kata bintang jelita yang mula dikenali menerusi drama Vanilla Coklat itu.

Dalam pada itu, akui Izara, dia tidak gusar dengan andaian kononnya 'saham' atau kariernya merudum selepas bernikah.

"Saya realistik dalam apa yang dilakukan. Dalam hidup ini saya percaya kita dicipta berpasangan yakni menerusi perkahwinan. Saya percaya rezeki ada di mana-mana.

"Peminat sudah bijak menilai pelakon kesayangan tidak kira sama ada sudah berstatus bujang atau berkahwin," katanya.

Izara juga tidak risau dengan tawaran watak yang sesuai dengan statusnya kelak. Katanya, dia tetap mengekalkan prinsip dalam kariernya iaitu bersikap selektif.