Fri09222017

LAST_UPDATEFri, 22 Sep 2017 8am

Syarikat Boy Iman Tidak Dapat Kebenaran Guna Logo Korporat Sirim

..

Menerusi laporan mStar online, Sirim Berhad menafikan bekerjasama dengan syarikat DBI Technology Sdn Bhd dalam sebarang bentuk promosi.

Dalam satu kenyataan, agensi itu memaklumkan bahawa ia juga tidak pernah mengadakan sebarang kajian, ujian produk termasuk perkhidmatan membabitkan syarikat tersebut.

"Sirim juga tidak memberikan pensijilan atau kebenaran kepada DBI Technology untuk menggunakan logo korporat Sirim dalam sebarang bentuk promosi ke atas sebarang produk atau perkhidmatan miliknya.

"Oleh itu, Sirim tidak akan bertanggungjawab di atas segala akibat atau kesan yang dilakukan oleh DBI Technology,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai promosi Jom Bina Rumah bersama DBI Technology dengan harga mampu milik, yang memaparkan logo Sirim.

Promosi tersebut turut memaparkan gambar pelakon dan usahawan, Datuk Boy Iman selaku Ketua Pegawai Eksekutif DBI Technology dan penyanyi, Datuk Nassier Wahab sebagai dutanya.

..

Jumaat lalu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan logonya turut dipaparkan pada promosi itu menjelaskan bahawa ia tidak pernah membenarkan DBI Technology menggunakan logo korporatnya.

Menurut CIDB dalam satu kenyataan, ia tidak menerima sebarang permohonan penggunaan logo korporatnya daripada syarikat tersebut.