Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 9pm

"Kalau Dapat Cikgu Pun Boleh" - Wak Doyok

..

Ikon fesyen popular Wak Doyok, 38, memberitahu dia tidak cerewet dalam mencari calon isteri dan tidak memandang dari segi paras rupa dan kecantikan wanita itu.

Sebaliknya pemilik nama sebenar, Mohd Azwan Mohd Nor ini berkata, cukuplah jika wanita berkenaan boleh memahami dirinya, pandai memasak dan dapat menjaga ibu bapanya.

"Saya tidak mencari wanita yang terlalu sofiskated tapi cukuplah sekadar dia boleh memahami saya, boleh jaga mak saya dan pandai memasak sebab saya bukan seorang yang suka makan di luar.

"Kalau dapat calon isteri seorang cikgu pun boleh. Tambah-tambah kalau dia cikgu Bahasa Inggeris, lagi bagus. Bolehlah ajar anak saya nanti," selorohnya ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), bertempat di hotel Park Royal, KL, pada Rabu.

Sejak putus tunang pada April lalu, pelakon filem Abang Long Fadil 2 ini mengaku masih kecewa dan belum mahu memikirkan soal mencari pasangan sebaliknya dia ingin memberi fokus kepada karier lakonannya yang sedang berkembang.

"Ikut perancangan saya sepatutnya berkahwin pada April lalu malah saya sudah pun membuat persiapan majlis perkahwinan saya.

"Tetapi jodoh itu di tangan Allah, semua yang dirancang tidak menjadi. Kami putuskan ikatan pertunangan dan saya anggap tiada jodoh di antara kami," katanya yang bagaimanapun enggan mendedahkan identiti bekas tunangnya itu.

Sebelum ini Wak Doyok pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan bekas personaliti TV3 iaitu Azrinaz Mazhar Hakim.

Sementara itu mengulas mengenai pencalonannya dalam FFM kali ini, Wak Doyok berkata dia terkejut dan dalam masa sama bersyukur apabila diberitahu namanya mendapat pencalonan awal pada FFM29 menerusi penampilan sulungnya dalam Abang Long Fadil 2.

Bagaimanapun Wak tidak meletakkan harapan tinggi dan bersyukur dengan pencalonan diterima.

"Saya tak sangka tercalon kerana saya orang baharu dan baru berlakon satu filem. Tapi saya bersyukur dengan percalonan ini namun tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang," katanya.