Thu09212017

LAST_UPDATEThu, 21 Sep 2017 10am

Osman Ali Yakin Pinjamkan Hatiku Tidak Akan Jadi 'Mangsa'

Barisan kru dan pelakon filem Pinjamkan Hatiku.Barisan kru dan pelakon filem Pinjamkan Hatiku.

Meskipun kecewa ekoran nasib filem Kau Yang Satu arahannya menjadi 'mangsa' cetak rompak selepas seminggu ditayangkan di pawagam, namun pengarah Osman Ali yakin kejadian tersebut tidak akan berulang terhadap filem terbaharunya, Pinjamkan Hatiku.

Menurut Osman, selepas insiden itu, pihak berwajib telah menubuhkan satu badan bagi memantau sekaligus membanteras kegiatan tersebut.

Selain itu, pihaknya sendiri akan mengambil langkah memastikan setiap kali sebelum tayangan, akan dipaparkan satu notis amaran keras dan memaklumlam tindakan undang-undang akan diambil sekiranya ada pihak cuba melakukan rakaman secara haram.

"Apa yang berlaku ada hikmahnya. Selepas insiden itu, pihak yang berwajib telah tubuhkan satu badan bagi memantau sekaligus membanteras kegiatan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Pihak saya juga akan sentiasa berwaspada dan pastikan perkara sebegitu tidak akan berulang lagi. Justeru, satu paparan notis amaran keras akan dipaparkan sebelum tayangan bermula nanti," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran runut bunyi dan trailer filem tersebut, di Redbox pusat membeli belah The Garden, pada Selasa.

Pinjamkan Hatiku dibintangi barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Farid Kamil, Ayda Jebat, Normah Damanhuri dan ramai lagi. Filem bergenre cinta itu bakal ditayangkan mulai 30 November depan.

Sementara itu, Osman berkata dia sangat berpuas hati dan bersyukur hasil karyanya kali ini meskipun berdepan dengan beberapa cabaran besar ketika proses penggambaran. Dia berjaya mendapatkan beberapa lokasi unik di beberapa negeri di Semenanjung yang mana dijangka akan menjadi antara daya tarikan dalam filemnya ini.

Menjalani penggambaran selama 45 hari, antara cabaran yang dilalui seperti kru dan para pelakon terpaksa memanjat bukit dan hutan seawal jam 4 pagi bagi merakamkan pelangi sebenar di Air erjun Pelangi. Turut berlaku insiden bot terbalik ketika penggambaran di sebuah sungai.

Bukan itu saja, Ayda jebat dan pelakon lain juga mengalami kecederaan ketika penggambaran dan seorang kru audio meninggal dunia dalam satu kemalangan ketika dalam proses menyudahkan penggambaran filem ini.

"Pelbagai cabaran kami lalu sepanjang proses penggambaran namun saya bersyukur kerana semua kru dan para pelakon saya memberikan komitmen yang sangat baik. Bahkan saya gembira kerana perancangan saya untuk melakukan penggambaran di beberapa lokasi unik dan mungkin jarang diketahui umum dapat dilaksanakan.

"Saya sangat berpuas hati dan sejujurnya saya sendiri tersentuh dengan jalan cerita filem ini dan diharapkan para penonton juga dapat merasainya ketika menonton kelak," katanya.

Filem terbitan terbitan Aurawhite Global Sdn Bhd ini menampilkan jalan cerita berbeza dari biasa dan mampu mengusik jiwa serta meruntun sanubari.

Ia mengisahkan gadis bernama Laila Safitri, Naufal dan Dr Hasnan. Tiga hati menggarai cinta sejati, sejauh manakah satu jiwa mampu bertahan? Semua itu bakal terjawab dalam filem Pinjamkan Hatiku.