Mon12112017

LAST_UPDATEMon, 11 Dec 2017 7pm

Kenyataan Chef Wan Tidak Benar

..

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail menyangkal kenyataan chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang mendakwa tiada kemudahan mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang di Pulau Langkawi.

Memetik laporan Utusan online, Dr. Norhizan berkata, setakat ini terdapat 26 mesin dialisis disediakan di Hospital Langkawi bagi pesakit berkenaan.

"Mesin dialisis di Langkawi boleh didapati di Hospital Langkawi dan di sebuah pusat dialisis swasta.

"Jumlah mesin yang ada di hospital itu adalah 26 buah. Pada masa sekarang seramai 103 pengidap End Stage Renal Failure (ESRF) atau kegagalan buah pinggang mendapat rawatan di situ," katanya

Baru- baru ini Chef Wan dipercayai memuat naik satu kenyataan di dalam Instagramnya mengatakan bahawa Langkawi tidak mempunyai pusat dialisis menyebabkan seorang rakannya terpaksa berulang-alik ke Alor Setar dan Pulau Pinang. Status tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen sekaligus menjadi tular.

Tambah Dr. Norhizan, pusat dialisis swasta di Langkawi mempunyai enam mesin dengan bilangan pesakit yang mendapat rawatan hanya dua orang.

"Suka juga dinyatakan di sini bahawa, Hospital Langkawi merupakan sebuah hospital pakar hemodialisis terdapat alternatif lain iaitu CAPD di mana pesakit dilatih dan boleh lakukan dialisis di rumah.

"Pihak kerajaan menyediakan kemudahan haemodialisis di hospital-hospital kerajaan malah bagi meningkatkan lagi bilangan mesin dialisis dan memberi kemudahan kepada rakyat," katanya.