Thu10192017

LAST_UPDATEWed, 18 Oct 2017 11pm

Mukhlis Lah Orangnya...

..

Sebelum ini Fasha Sandha pernah mengakui dia kini sedang berkawan rapat dengan seorang jejaka malah aktres jelita ini mendedah lelaki tersebut pernah menyatakan perasaan rindu terhadapnya.

 

Tanda tanya siapa lelaki yang dimaksudkan itu akhirnya terjawab ekoran baru-baru ini, Fasha tampil bersama seorang pemuda pada sebuah acara dan berkongsi gambar mereka bersama di laman Instagram.

Memetik laporan BH online, Fasha, 33, berkata jejaka yang diperkenalkan sebagai Mukhlis atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rock itu turut memanggil beliau dengan panggilan Nur.

Katanya, mungkin lelaki berkenaan mahukan kelainan apabila memanggil beliau dengan pangkal namanya itu.

Bagaimanapun Fasha menganggap hubungan mereka sebagai seorang sahabat walaupun pemuda terbabit dilihat sanggup datang ke ibu kota dari Kelantan untuk berjumpa dengannya.

"Setakat ini, kami hanya berkawan. Benar, dia pernah menyatakan rindu pada saya, tetapi saya tidak membalas perasaan itu buat ketika ini. Kesibukan tidak memberikan ruang untuk saya rindu pada sesiapa, kecuali anak-anak saya.

"Saya hargai apabila dia menyatakan sanggup datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan saya dan anak-anak, namun saya menerima perkara itu dengan positif.

"Panggilan Nur untuk saya pula mungkin kerana dia mahukan kelainan. Nama saya Nur Fasha Sandha, mungkin dengan panggilan itu, dapat membezakan dirinya dengan orang lain," katanya

Tambah Fasha, dia tidak mungkin beliau dapat memberikan masa untuk dirinya bercinta ketika ini memandangkan dia sibuk dengan penggambaran drama, Syurga Yang kedua, yang memerlukan komitmen cukup tinggi.

Sabtu lalu, rata-rata netizen mempersoalkan kehadiran seorang jejaka di sisi aktres terbabit pada majlis persandingan pelakon, Ummi Nazeera.

Ramai yang mengandaikan Mukhlis mungkin lelaki yang mendapat tempat di hati Fasha sejak beliau bercerai pada Januari tahun lalu.

Dalam pada itu, Fasha mengakui lelaki berkenaan pernah menghantar makanan kepadanya dan mereka hanya sempat berjumpa untuk tempoh lima minit.

"Benar, memang dia pernah datang ke lokasi saya untuk menghantar makanan dan saya hanya dapat berjumpa dengannya selama lima minit. Apabila di tempat kerja, saya akan fokus dengan kerja saya kerana karakter saya lakonkan amat berat," ujar ibu kepada dua cahaya mata itu.