Sun08202017

LAST_UPDATESun, 20 Aug 2017 12am

"Dapat Cara Yang Betul Pun Jadi Isu" - Boy Iman

..

Pelakon dan ahli perniagaan, Boy Iman tidak menyangka beberapa gambar yang muat naik ketika di hari beliau menerima penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, sekitar Mei lalu, menjadi viral sekaligus menerima kutukan netizen.

Bukan saja kesahihan gelaran tersebut dipertikaikan oleh banyak pihak malah ada yang menyindir beliau gara-gara foto yang dikongsinya iaitu gambar menunjukkan dia di pagar pintu istana dan juga hanya gambar yang berlatar bingkai gambar Sultan Pahang.

Dengan nada kecewa, Boy menjelaskan dia memuat naik di laman sosial bertujuan untuk berkongsi berita gembira itu namun ia telah disalah erti dan mendapat kritikan.

"Apa yang buat saya kecewa kerana orang pertikai dan viralkan gambar yang saya muat naik ketika di siang hari. Mereka pertikaikan kenapa hanya di pagar istana saja? Kenapa dengan bingkai gambar tuanku? Kenapa tidak ada gambar saya bersama tuanku?

"Sebenarnya pada hari tersebut, saya membawa jurugambar peribadi saya untuk merakamkan detik bersejarah itu. Rupanya setiap yang masuk ke istana memang tidak dibenarkan merakamkan gambar malah telefon saya juga diambil dan berada dalam simpanan sementara pihak istana. Jurugambar saya tidak dibenarkan masuk.

"Dan sebenarnya pegawai istana yang mewakilkan tuanku menyerahkan anugerah itu kerana saya dan beberapa VIP lain dimaklumkan bahwa tuanku gering.

"Selepas mengambil anugerah tersebut, alang-alang saya sudah membawa jurugambar sendiri, jadi saya minta lah dia merakamkan gambar saya di pagar istana dan kemudian saya muat naik gambar itu. Tidak mengapalah walaupun diluar istana. Lagipun, majlis penerimaan tersebut pula diadakan bukan di Istana Pahang tetapi di istana hinggap yang terletak di Jalan U-Tant. 


"Selepas majlis berakhir, jurugambar rasmi istana menghubungi saya dan menawarkan sekiranya saya mahu gambar saya yang dirakamnya. Setelah mendapat gambar tersebut pada sebelah malamnya, saya terus muat naik di laman sosial," terangnya dengan panjang lebar ketika ditemui baru-baru ini.

Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abd Rahman, 37, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi gelaran Dato yang diperolehinya.

Tambah pelakon yang bakal muncul menerusi filem Blok 404 ini, dia terkilan dengan persepsi segelintir pihak yang masih mempertikaikan mengenai penerimaan gelaran tersebut sahih.

"Sebelum ini, saya dapat daripada Naning bersama Pian Cecupak dan Nash, jadi viral. Kali kedua saya dapat daripada Perak dan memang itu tidak diiktiraf. Apabila dapat dari Pahang dengan cara yang betul, pun jadi isu," tuturnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu gelaran 'doktor falsafah’ dari sebuah kolej swasta, yang diterimanya sekitar hujung tahun 2016, Boy Iman mengakui dia silap membuat penjelasan kepada pihak media yang menemubualnya ketika itu.

"Saya silap sebenarnya. Saya minta maaf. Sebenarnya ketika saya baru-baru dapat gelaran itu, saya menerima banyak panggilan daripada media sehinggakan saya tergamam dan tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan mengenai gelaran tersebut.

"Kemudian baru lah saya sedar sepatutnya saya perlu jelaskan kepada media bahawa ia adalah 'doktor kehormat' dan saya menghargai pengiktirafan itu," katanya.