Thu07272017

LAST_UPDATEThu, 27 Jul 2017 8pm

Sukses 'Caras' Ed Sheeran, Jessie Chung Menangis 3 Hari

..

Kejutan demi kejutan diberikan oleh penghibur bertaraf antarabangsa, Jessie Chung, menerusi albumnya yang berjudul Be Strong. Impresif, album tersebut mendapat sambutan hangat setelah dilancarkan di Taiwan.

Dalam tempoh dua minggu sahaja, album Inggeris keduanya ini berjaya menguasai carta-carta muzik dan menguasai senarai lagu di stesen radio-radio di Taiwan.

Tambah mengembirakan penyanyi kelahiran Kuching Sarawak ini kerana albumnya menduduki tangga nombor satu dalam carta jualan album, Five Music's International Chart.
Be Strong berjaya mendahului album artis popular antarabangsa seperti Ed Sheeran yang menduduki tangga kedua disusuli Adele, Chainsmokers, Ariana Grande, Madonna dan Coldplay.

Jessie yang juga merupakan seorang wanita transgender berkata, dia tidak menyangka Be Strong 'meledak' di Taiwan sekaligus berada di kedudukan tangga teratas carta-carta muzik negara tersebut.

"Saya terkejut dan tidak menyangka album saya mendapat sambutan hangat di sana kerana saya difahamkan para peminat muzik di Taiwan mereka lebih menggemari lagu berentak Balada sedangkan lagu saya berentak Pop Rock.

"Saya menangis selama tiga hari kerana sukar untuk percaya namun sangat gembira. Saya sangat terharu dan bersyukur kerana album saya mendapat tempat di hati mereka malah mereka menyambut baik kehadiran saya di sana.

"Saya akui sebagai seorang transgender, bukan senang untuk saya menyanyi dan membina karier sebagai seorang penyanyi kerana vokal saya. Namun saya tidak berputus asa. Dua tahun lalu saya mula mengikuti kelas vokal. Usaha dan kerja keras saya selama ini berbaloi," katanya ketika ditemui pada sidang media bertempat di Banggunan NHN, Shah Alam, pada Khamis.

..

Kepulangannya ke tanah air kali ini juga memberikan kejutan buat dirinya apabila dia dianugerahkan anugerah Platinum atas pencapaian albumnya itu.

Menyifatkan pencapaiannya itu sebagai hadiah paling manis selama bergelar penyanyi namun disebalik kegembiraan itu, kata Jessie dia punya momen lucu saat mahu meyakinkan dirinya bahwa kejayaan albumnya memang benar-benar realiti. Lantas, dia sendiri pergi ke stesen radio untuk 'menyiasat' sebelum betul-betul yakin.

"Saya mula tidak percaya, jadi saya pergi sendiri ke stesen radio dan agensi yang mengendalikan carta tersebut untuk melihat sendiri keputusan itu. Timbul juga rasa malu sebab saya tahu belum pernah lagi mana-mana penyanyi yang berbuat seperti saya. Tapi rasa ingin tahu saya membuak-buak.

"Bagi mengelak daripada dikenali, saya memakai topeng muka. Tetapi malangnya, rata-rata petugas di stesen radio yang saya pergi itu mengenali saya dan mereka pun terkejut melihat kehadiran saya di tempat mereka. Selepas berbuat demikian, baru lah saya betul-betul yakin bahwa kejayaan yang saya perolehi ini benar," ceritanya sambil tertawa.

Dalam pada itu, Jessie yang juga aktif berlakon serta menjalankan perniagaan berkata dia mahu menjadi penghibur yang dapat memberi inspirasi kepada masyarakat seluruh dunia menerusi lagu-lagunya.

"Selain berusaha untuk mencapai banyak lagi kejayaan, seperkara yang paling saya ingin lakukan ialah saya mahu membantu semua orang untuk sentiasa menjadi sihat. Saya mahu memberi inspirasi kepada semua masyrakat menerusi lagu-lagu saya," katanya.

Akhirnya Dapat Sijil Kahwin
Berkongsi pula mengenai perancangan tahun ini, Jessie dalam persiapan untuk mengadakan konsert di sini sebelum konsert di China dan Taiwan. Lebih mengujakan buat pertama kalinya dia juga akan mengadakan konsert di Australia. Pada hujung tahun ini dia kembali sibuk dengan pementasan teater berjudul Music Box yang akan dipentas di beberapa negara terpilih seluruh dunia.

Seperkara lagi yang membuatkan dia teruja kerana pada September depan dia dan suaminya, Joshua Beh, akan sekali lagi melangsungkan perkahwinan sempena ulang tahun mereka yang ke-10 tahun.

Majlis tersebut akan diadakan di Gold Coast, Australia, yang juga merupakan lokasi impian Jessie mahu mengadakan majlis perkahwinannya di situ. Lebih manis, penantian mereka selama beberapa tahun akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan sijil perkahwinan yang sah selepas membuat pendaftaran permohonan sijil perkahwinan di Australia.

"Saya gembira, akhirnya saya dan suami sudah dapat sijil kahwin yang sah. Mungkin bagi sesetengah orang menganggap apalah ertinya sehelai kertas itu tetapi bagi saya ia sangat penting.

Dengan adanya sijil ini, kami berdua dapat merancang masa depan kami dengan lebih baik misalnya kami sudah boleh mempunyai akaun bank bersama dan sebagainya," katanya yang turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami yang dapat memberi kebahagiaan kepada dirinya.