Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Mawi Meremang Bulu Roma Masuk Israel

..

Selama ini dia hanya mendengar cerita orang, membaca serba sedikit informasi menerusi sebaran media massa juga pernah menonton beberapa filem berkaitan Palestin akibat pergolakan.

Begitu juga, mengenai Israel yang selama ini digambarkan negara berbahaya yang boleh menimbulkan rasa takut terhadap sesiapa saja yang memasuki negara itu.

Hakikatnya, apa yang dibayangkan jauh berbeza daripada apa yang disaksikan sendiri oleh penyanyi Mawi, sepanjang 12 hari berpeluang melawati beberapa tempat di Palestin dan Israel sekaligus menjalani penggambaran dokumentari berjudul Mawi di Bumi Mikraj pada Mei lalu

Antara tempat yang dikunjungi seperti Tel Aviv, Hebron, Nazareth dan Jarussalem. Mawi berangkat bersama 10 kru produksi dan 45 anggota rombongan di bawah kendalian agensi pakej pelancongan Intifada Travel.

Mawi berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah mahupun kesulitan bermula daripada awal kunjungan sehingga selesai penggambaran di lokasi terpilih di kedua negara itu.

"Kita biasa dengar tentang bahaya dan bermacam lagi cerita mengenai keadaan di dua negara ini tetapi apabila saya sampai di sana, ia sebenarnya berbeza dengan apa yang sering digambarkan.

"Apa yang boleh saya katakan, temnpat-tempat tersebut suasananya harmoni dan persekitarannya bersih. Bayangkan, Tel Aviv suasananya seperti di Singapura, bersih.

"Kami masuk ke negara tersebut melalui Jordan. Saya bersama 10 kru saya dan selebihnya adalah ahli rombongan yang hendak pergi bercuti.

"Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Cuma, setibanya kami di sempadan Tel Aviv, kami menjalani pemeriksaan ketat dan ditahan lebih kurang tiga jam. Kami dimaklumkan kerana masalah pasport sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.  

"Kalau jalan-jalan di sana, orang-orang di sana tidak terlalu menganggap kami orang asing. Mereka hanya tahu kami dari Asia.

"Ada juga yang bertanya sama kami muslim atau tidak, apabila kami jawab ya, mereka minta kami baca surah Al-Fatihah sebagai bukti kami muslim," katanya kepada Malaysia Digest ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Warner Music di Sungai Buloh, semalam.

Begitupun, Mawi mengakui sepanjang berada di sana tetap timbul kebimbangan di dalam dirinya terutama apabila memikirkan tentang bahaya dan perkara yang tidak diingini yang boleh berlaku selama ini sepertimana dilaporkan media massa dan Internet.

Namun, demi mahu memnyempurnakan penggambaran dokumentari terbitan produksinya iaitu Mawi World Entertaiment, dia terpaksa melawan rasa takut dan gementar yang dirasainya.

"Risau tu memang ada tapi bila memikirkan kami dari jauh tapi bila dah sampai rugi rasanya kalau tak masuk ke negara itu. Kalau diikutkan meremang juga bulu roma sebaik saja jejak ke sana," katanya.  

Berkongsi lanjut pengalaman tersebut, Mawi menyatakan dia berkesempatan mengunjungi masjid Al-Aqsa, Marwan dan Buraq, makam nabi Ibrahim dan isteri baginda iaitu Siti Sarah, makam Nabi Isa juga beberapa tempat-tempat ibadah Kristian, Yahudi dan Islam.

"Satu lagi pengalaman menarik, ketika di Tel Aviv, saya sempat pergi ke pasar malam di satu kawasan di situ. Ketika sedang berjalan-jalan saya ternampak dua anak muda remaja yang hanya memakai seluar pendek dan baju-t tetapi apa yang mengejutkan saya mereka memengang senjata jenis M16 sedang berlegar-legar di situ.

"Rupanya memang sentiasa ada remaja yang memang seperti sudah biasa membawa senjata jenis itu di mana-mana. Agak terkejut juga saya melihatnya, mulanya saya ingat senjata permainan tetapi memang senjata sebenar. Mungkin itu cara mereka berkawal

"Saya juga sempat ke melawat masjid Al-Aqsa yang sebenarnya terletak di bawah tanah diatas masjid itu pula masjid Marwan dan di sebelahnya masjid Buraq iaitu masjid di mana berlakunya peristiwa Nabi Muhammad menambat Buraq sewaktu hendak naik ke langit.

"Saya juga sempat melawat Makam Nabi Ibrahim dan isterinya, makam Nabi Isa, tempat Nabi Isa kena salib dan tempat baginda dikapankan. Itu antara tempat menarik yang saya kunjungi.

"Saya juga sempat menjalani penggambaran muzik video ketika ke Pulau Kalili," kongsinya dengan panjang lebar.

Dalam perkembangan lain, Mawi kini sibuk mempromosikan single terbaharu berduet dengan Dali (Ahli Fiqir) menerusi lagu berjudul Sahabat Dalam Tubuh.

- mD