Sat06232018

LAST_UPDATEFri, 22 Jun 2018 11pm

Fahrin Ikut Isteri Ke Dubai Sebelum Bulan Madu Ke Itali

..

Pelakon Fahrin Ahmad menjelaskan tindakannya merahsiakan identiti isterinya, Elena Hani daripada pengetahuan umum selama setahun ini kerana tidak mahu pelbagai lagi spekulasi dan cerita buruk akan timbul berterusan sama ada mengaitkan tentang dirinya mahupun tentang wanita pilihan hatinya itu.

Sekaligus dia bimbang jika spekulasi tersebut akan menjejaskan segala perancangannya.

Ditemui sejurus usai acara pernikahannya semalam, Fahrin menyatakan dia sangat skeptikal dengan trend masa kini di mana wujudnya platform media sosial yang membolehkan sesiapa saja berkata-kata tanpa usul periksa.

Jadi, sebagai langkah terbaik, dia memilih untuk berahsia.

"Sejak saya umumkan yang saya akan berkahwin, timbul macam-macam tekaan dan dakwaan kononnya bakal isteri saya cikgu, pramugari dan janda beranak satu.

"Tapi saya bukanlah bersikap prejudis pada wanita janda atau kepada mana-mana pihak sekalipun.

"Namun, itu sudah menimbul cerita yang bukan-bukan. Jadi, langkah terbaik untuk membendung daripada terus timbul macam-macam lagi cerita, saya rasa elok saya berahsia," katanya sambil tersenyum memandang ke arah Elena yang berada di sisi.

Namun begitu, hero filem Pilot Cafe ini menganggap ada hikmah yang besar di sebalik kerahsiannya itu.

Malah, dia juga beryukur kerana keluarga serta beberapa kenalan rapat yang sangat memahami dan terus menyimpan amanah tersebut sehingga tiba hari pernikahannya.

"Kerahsiaan itulah yang membawa kepada kelancaran majlis kami pada hari ini dan ia penting untuk kami menjaga hati banyak pihak.

"Misalnya, saya perlu menjaga hati keluarga mentua saya yang mana mereka tidak biasa terdedah dengan dunia saya sebagai seorang selebriti.

"Andai kata dari hujung tahun lepas lagi saya beritahu yang saya akan berkahwin pada tahun ini, saya rasa tentu situasinya mungkin tak terkawal.

"Dalam tempoh setahun itu, bukan mudah sebenarnya untuk menyimpan rahsia ini. Saya akui, bukan tidak ada yang tahu tentang hal perkahwinan saya ini kerana ada yang tahu saya pergi kursus kahwin.

"Malah ibu bapa saya pun berurusan dengan banyak pihak untuk persediaan majlis saya ini.

"Allhamdulillah, saya nampak hikmahnya sangat besar. Saya bersyukur, kerana di kelilingi ahli keluarga yang sangat amanah," katanya.

Fahrin, 36, dan Elena, 37, sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz dalam sebuah majlis ijabkabul yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, pada 9 Mei lalu.

Fahrin Tanya Apa Khabar?

..

Elena dan Fahrin sudah berkenalan sejak di zaman mereka di universiti lagi. Malah, mereka menuntut di satu fakulti yang sama iaitu Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Selepas 17 tahun tidak berjumpa, pasangan ini bertemu semula pada bulan Ramadan tahun lalu dan terus menjadi rapat.

Mereka membuat keputusan tidak mengikat tali pertunangan sebaliknya pada December tahun lalu, satu pertemuan ringkas diadakan antara dua belah keluarga sebagai tanda pihak lelaki untuk mendapatkan dan mengesahkan persetujuan serta kesepakatan kedua pihak keluarga.

Sebagai tanda penghargaan, Fahrin cuma menghadiahkan sebentuk cincin kepada Elena yang masing-masing faham dan bersetuju itu hanyalah hadiah ikhlas.

Berkongsi mengenai detik pertemuan mereka semula, Fahrin menyatakan segalanya bermula daripada niat mahu bertanya khabar Elena.

"Kami sebenarnya bertemu semula setelah 17 tahun terpisah. Kami belajar fakulti yang sama sewaktu di UiTM.

"Ketika itu kami tidak berkawan tapi tahu kewujudan masing-masing. Dia pelajar cemerlang, saya tidak," gurau Fahrin sebelum meneruskan kata-kata.

"Sehinggalah pada bulan Ramadan tahun lalu saya terdetik hati mahu bertanyakan khabar tentang diri dia. Saya dapat tahu daripada kawan-kawan serba sedikit tentang dia dapat tahu dia bekerja di Dubai dan belum berkahwin.

"Saya pelik sebab seorang yang cantik, terpelajar dan matang seperti dia masih belum mendirikan rumah tangga.

"Seperti mana saya yang juga belum ada jodoh. Jadi saya rasa tentu kami tentunya cerita tersendiri.

"Itu yang menguatkan saya untuk mahu menghubunginya tetapi mula-mula dia sombong juga sepatah saya bertanya, dua tiga hari baru balas.

"Kemudian bila dia pulang bercuti, kami berjumpa tetapi pada masa tu tidak terlintas langsung saya mahu mengorat dia.

"Nak jumpa sekadar nak bertanya khabar saja tetapi sejak itu kami jadi kawan dan rapat," kongsinya lagi.

Mengenai Elena, anak sulung dari tiga beradik ini pernah berkhidmat sebagai peguam di firma guaman Tetuan Cheng & Ariff Kuala Lumpur selama lima tahun.

Kemudian dek mahu mencabar diri mencuba sesuatu, pada tahun 2007 dia berhijrah ke Dubai, Emeriyiah Arab Bersatu dan menyertai Emerates Airlines.

Sehingga kini dia masih berkhidmat dengan penerbangan antarabangsa terkemuka itu dan memengang jawatan sebagai Ketua Pramugari dan masih menetap di Dubai sehingga ke hari ini.

Dalam pada itu, Fahrin menyatakan dia terpikat degan sifat isterinya yang merupakan seorang penyanyang, mengambil berat, bijak, matang, berdikari, tenang dan kuat hatinya serta tidak mudah melatah dan paling penting, tidak memandang dan mengambil rendah status Fahrin sebagai seorang selebriti.

"Sebelum ini saya pernah terfikir menginginkan seorang teman hidup yang tidak melihat saya sebagai Fahrin Ahmad tetapi sebagai diri saya seorang yang juga orang biasa.

"Seorang yang dapat menerima saya seadanya kerana sebagai seorang artis terlalu banyak cabaran yang saya lalui termasuk cerita-cerita kontroversi. Ciri itu ada pada Elena dan saya nampak keikhlasan dia menerima saya," katanya.

Sementara itu, Fahrin memberitahu mereka tidak merancang mengadakan resepsi dalam masa terdeka ini memandangkan dia dan Elena sibuk dengan jadual kerja yang padat.

"Resepsi, kalau diadakan pun mungkin sewaktu Elena bercuti sempena raya Aidilfitri nanti ataupun jika dia pulang bercuti Ramadan ini," ujarnya.

Hari ini, Fahrin akan mengikut isterinya pulang ke Dubai dan kemudian mereka akan pergi bercuti bulan madu ke dua lokasi kegemaran Elena iaitu ke Venice, Itali dan Nice, Monte Carlo.

-mD