Tue12122017

LAST_UPDATETue, 12 Dec 2017 12am

Kulit Muka Aishah Ilias Terkoyak Kerana 'Cinta Ibadah'

..

Pelakon baru Aishah Ilias menghadapi masalah kulit akibat terlalu banyak kali disolek sepanjang menjayakan dua watak sekaligus dalam drama terbaru lakonannya, 'Cinta Ibadah'.

Menurut gadis berusia 27 tahun ini, sepanjang penggambaran dia terpaksa bertukar solekan bagi memenuhi tuntutan watak sebagai Siti dan Rina. Akibatnya kulit mukanya terkoyak dan berdarah. Namun kecederaannya itu tidak terlalu serius.

"Saya bawak dua watak jadi selalu kena tukar-tukar make-up. Kulit saya sensitif. Akibat terlalu kerap guna tisu basah setiap kali hendak buang solekan, kulit muka saya terkoyak dan berdarah.

"Drama ini mempunyai episod yang panjang. Setakat ini penggambaran baru selesai 80 episod. Jadi, bayangkanlah selain saya perlu mengekalkan momentum lakonan saya, saya juga harus bersilih ganti solekan untuk membezakan kedua-dua watak saya. Itu antara cabarannya", katanya ketika ditemui pada sidang media drama tersebut baru-baru ini.

Selain itu Aisah mengakui peranan dua karakter dalam satu agak sukar dihidupkan memandang dia seorang pendatang baru dalam dunia lakonan. Demi menjayakan kedua-dua watak tersebut, di lokasi dia banyak berlatih bercakap seorang diri.

"Tak dinafi saya pada mulanya saya memang tertekan apabila perlu membawa dua watak dalam satu masa. Sampaikan ada ketika bila masuk set, saya keliru dan tertukar karakter. Tapi atas bantuan pengarah, lama kelamaan saya boleh mengatasi tekanan tersebut. Di set, saya selalu berlatih bercakap seorang diri untuk mengingati dialog bagi kedua-dua watak", katanya.

Sementara berkongsi pengalaman digandingkan dengan Fattah Amin, Aishah berkata dia mengambil masa untuk membina keserasian dengan heronya itu.

"Saya memang susah sikit nak wujudkan keserasian dengan mana-mana pelakon lelaki yang digandingkan dengan saya. Macam untuk drama ini, saya ambil masa juga untuk cari keserasian itu. Tapi Fattah dan pengarah banyak membantu. Kami akan latihan dulu masuk set dan banyak berbincang dengan pengarah", katanya.

Dalam pada itu Aishah juga berharap 'Cinta Ibadah' dapat melonjakkan lagi namanya dalam dunia lakonan. Baru dua tahun sebagai pelakon, bekas setiausaha sebuah syarikat pembinaan ini sedar yang banyak lagi kelemahannya yang perlu diperbaiki.
Minatnya pada dunia lakonan mula bercambah apabila dia semakin selesa dengan rutin kerjaya yang fleksibal.

"Saya berhenti sebagai setiausaha kira-kira 4 tahun lalu. Satu hari, saya di lapangan kerana pulang dari bercuti. Tiba-tiba saya di datangi seorang produser yang memberitahu dia mahu memberikan tawaran lakonan kepada saya. Memandang ketika itu saya belum mendapat kerja baru, jadi beberapa hari kemudian saya ke pejabatnya.

"Bermula dari situlah kerjaya lakonan saya apabila saya ditawarkan berlakon drama-drama untuk saluran RTM. Lama-lama saya semakin seronok berlakon sebab saya tak perlu lagi kerja seperti kerja waktu pejabat sebaliknya rutin saya lebih fleksibal. Selain itu, saya seronok dapat melakonkan pelbagai karakter.

"Tapi sebagai pelakon baru saya akui saya masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menerusi lakonan. Saya berharap 'Cinta Ibadah' dapat memberi peluang kepada saya untuk membuktikan bakat saya. Saya harap dapat meraih kepercayaan penonton menerusi drama ini", tuturnya yang sebelum ini pernah menerusi drama antaranya 'Menari Athirah', 'Dejavu di Kinabalu' dan filem seram 'Paku'.

'Cinta Ibadah dijangka bakal menjadi fenomena disamping barisan pelakon lain seperti Nor Albaniah, Sherry Ibrahim, Hisyam Hamid dan Sharolnizam. Kisah cinta abadi meruntun jiwa ini bakal ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 5 petang mulai 8 September 2014 secara eksklusif di Astro Prima, Maya HD, Ria PLUS dan Astro On The Go.

- mD