Sun07232017

LAST_UPDATESun, 23 Jul 2017 8pm

Elly Mazlein Batalkan Persiapan, Lupakan Dulu Soal Kahwin

..

Sejak tahun lalu sudah timbul desas desus pelakon dan penyanyi bermata cantik ini, Elly Mazlein sudah putus tunang. Meskipun beberapa kali pihak media cuba mendapatkan kesahihan tentang perkara itu, namun persoalan itu masih belum terjawab.

Setiap kali ditanyakan kepada tuan empunya badan, penyanyi yang pernah popular dengan lagu 'Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan' dilihat seperti cuba mengelak daripada memberikan jawapan yang benar-benar konkrit. Tidak mengiyakan juga tidak menidakkan tetapi sebaliknya Elly sambil menguntumkan senyuman manisnya berkata, "bila sampai masanya nanti saya akan beritau pada semua, ya. Sabar...".

Sehingga kini heroin drama bersiri fenomena 'Bella' ini masih mengunci mulut mengenai status pertunangannya.

Bertemu dengan Elly di sebuah Majlis Berbuka Puasa baru-baru ini, MD sempat bertanyakan khabar. Lagipun Elly sudah lama juga tidak muncul di khalayak ramai. Sambil menguntum senyuman, Elly berkata dia terlalu sibuk dengan penggambaran.

Namun tidak disangka dalam perbualan kami, Elly mengkhabarkan satu berita sedih, ibunya telah meninggal dunia kira-kira dua bulan lalu.

"Saya sibuk dengan penggambaran... Alhamdulillah rezeki saya tak putus. Tapi dalam suasana saya diberi pelbagai rezeki, saya juga tak lepas dari dugaan. Mama saya telah meninggal dunia, dah dua bulan lebih.

"Mama meninggal pada Hari Ibu iaitu pada 11 Mei lalu. Sebelum itu saya sempat mengucapkan selamat hari ibu. Saya rancang nak sambut sekali dengan hari jadi abah, pada 15 Mei tapi tak sempat", ceritanya sambil bergenang air mata.

Dalam keadaan sebak Elly berkata sehingga kini dia dan bapanya masih belum dapat membiasakan diri tanpa ibunya. Begitu, kata Elly, mujurlah mereka dua beranak mendapat sokongan moral daripada pihak masjid yang berdekat dengan rumah mereka, Masjid Putra.

"Walaupun saya dan abah masih bersedih tapi kami reda. Saya lega kerana mama pergi dalam keadaan tenang, arwah tak sakit apa-apa. Dia pergi dalam bulan baik, bulan Rejab. Tapi sehingga kini semangat saya masih belum pulih. Begitu juga dengan abah. Sebelum ini kami sentiasa bertiga. Ke mana saja kami pergi, apa saja saya buat, mesti bertiga. Tapi bila mama tak ada, rasa kosong.

"Tapi mujurlah kami dapat sokongan daripada pihak Masjid Putra. Saya selalu ke masjid. Dan mereka beri saya minum air bacaan ayat-ayat suci AlQuran untuk pulihkan kembali semangat saya dan juga abah",katanya.

Sungguhpun sibuk di lokasi penggambaran, kata Elly dia tetap memberikan tumpuan kepada bapanya. Kerana itu juga, buat masa ini dia tidak mahu memikirkan soal perancangan perkahwinannya.

"Saya sangat rapat dengan mama. Segala keputusan dalam hidup saya, suka duka saya, setiap kali lakonan saya, mama lah yang sentiasa ada dengan saya. Tapi sekarang ni fokus saya pada abah, saya nak jaga abah. Kami sama-sama sedang pulihkan semangat masing-masing.

"Tentang perancangan perkahwinan saya, saya tak mahu fikirkan buat masa ini. Sebenarnya ada beberapa persiapan telah dibuat tapi semuanya telah dibatalkan", katanya yang turut menyatakan rasa terkilan kerana ibunya tidak sempat melihat berkahwin.

Tambah Elly, bila tiba masa yang sesuai nanti, dia akan khabar berita hari bahagiaya kepada semua. Namun kata Elly, sekiranya dia berkahwin, dia hanya mahu mengadakan majlis akad nikah dan jamuan makan untuk tetamu.

"Mama sudah tiada. Saya tak mahu buat besar-besaran. Kalau saya kahwin pun, saya hanya akan akad nikad dan menjamu tetamu. Tiada persandingan.

"Tapi buat masa ini saya tidak bersedia lagi untuk memikirkan soal itu. Tapi janji saya tetap sama, bila tiba masanya nanti, saya akan beritahu semua", katanya.

Perkembangan lain, Elly baru saa selesai menjalani penggambaran 'Dahan Rindu' terbitan RTM. Dia juga bakal muncul dalam telemovie raya berjudul Ema Amyliana.

Selain itu, dia juga sibuk menjalani penggambaran Ema Amyliana musim kedua dan selepas raya nanti dia akan menyambung penggambara drama tersebut untuk musim ketiga.

- mD