.
Dalam diam rupanya pelakon kacak, Fizo Omar, sebenarnya sedang dalam kondisi yang boleh di kira, 'fasa pertama alam percintaan'. Kenapa MD katakan begitu? Baru-baru ini, sewaktu bertemu dengan hero drama bersiri Cinta Emelda ni, MD sempat mengusik Fizo bertanya selain mendoakan yang baik-baik ketika berada di tanah suci Mekah baru-baru ini, ada tak dia turut doa agar dipercepatkan jodoh?
Sekadar tersenyum, empunya nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar ni pantas cuba mengubah topik perbualan. Namun kami terus cuba selami hati pelakon berbakat besar ini. Ya, kami akur bukan dia saja malah mana-mana artis pun tentu sukar untuk bercerita tentang perkara peribadi sebegini.
Bagaimanapun Fizo akhirnya membuka mulut memberitahu dia kini sudah memiliki teman istimewa. Namun jejaka berusia 27 tahun ini enggan bercerita lanjut mengenai siapakah gerangan gadis yang berjaya menambat hatinya itu. Secara ringkas, Fizo mendedah gadis tersebut sedang melanjutkan pelajaran di luar negara dalam jurusan kedoktoran.
"Ada tu ada. Tapi dia sekarang tak ada di Malaysia. Dia masih belajar di luar negara. Tapi saya tak mahu cakap tentang perkara ini lebih-lebih sebab kami belum betul-betul ada ikatan lagi. Tapi saya dan dia memang sudah lama kenal dan kami berkawan.
"Lagipun buat masa saya masih belum memikirkan soal bercinta. Fokus saya adalah pada kerjaya seni, perniagaan serta keluarga. Kalau ada jodoh, InsyaAllah", kata Fizo ketika di temui di majlis pelancaran Terbaik Raya juga berbuka puasa TV3, baru-baru ini.
Tambah Fizo, dia sebetulnya meletakkan target mahu mengakhiri zaman bujang di usia 28 tahun, namun berubah fikiran dan menetapkan mahu berkahwin sebelum usia 30 tahun nanti.
Dalam pada itu, Fizo sempat berkongsi pengalaman kali keduanya menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah bagi mengerjakan umrah pada awal minggu Ramadan yang lalu. Menyifatkan pemergian kali ni meninggalkan momen lebih bermakna kerana bukan saja menyambut hari lahirnya di sana malah hasrat mahu membawa ibunya, Hasnah Jidin, 62, ke rumah Allah itu telah pun tercapai.
Menurut pelakon yang kini sedang sibuk dengan pengambaran drama Julia ni, banyak saat menarik yang dilalui sepanjang berada di sana. Berasak-asak dalam jutaan umat, melakukan tawaf bersama ibunya, berkesempatan melawat beberapa tempat menarik, solat di depan lif dan berbuka puasa dalam Masjidil-Haram antara pengalaman menyeronokan yang membuatkan Fizo memasang niat mahu menunaikan umrah pada setiap tahun.
"Allhamdulillah walaupun suhu cuaca 50 darjah celcius, tapi tidak terasa sangat panasnya. Dapat berbuka puasa di sana, satu pengalaman yang unik. Bayangkan kami hanya menjamah kurma sahaja tapi tahan sehingga solat Isyak. Selain dapat sambut hari jadi di sana, hasrat saya nak bawa ibu sudah tercapa. Seronok! Dan saya rasa kalau boleh nak pergi sana tiap-tiop tahun", ujarnya lagi
Sementara itu bercerita tentang persiapan raya, kata Fizo setiap tahun dia membuat persiapan secara sederhana. Sepanjang bulan Ramadan ni juga dia bersama rakannya berniaga serunding daging dan ayam di Gerai No. E19, di belakang bangunan Semua House, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Fizo akan beraya di studio kerana bertugas di pagi 1 Syawal, mengacarakan program Nasi Lemak Kopi O di saluran TV9.
"Ni pertama kali saya sambut Syawal tanpa bersama keluarga. Tak tahu lah macam mana perasaan nanti (senyum). Tapi lepas bersiaran saya akan balik ke Kelantan dan bercuti beberapa hari", kata anak kedua daripada empat adik-beradik ini.
- mD