.
Penyampai radio dan pengacara, Reza Mohamed, 34, yang juga baru saja diumumkan sebagai penyampai baru radio Suria FM menjelaskan keputusannya meninggalkan stesen radio terdahulu, Era FM, bukan kerana berlaku sebarang persengketaan dengan pihak pengurusan stesen sepertimana yang di spekulasi ramai sebelum ini.
Sebaliknya kata pemilik nama sebenar, Syaiful Reza bin Mohamed ni keputusan yang dibuat kira-kira 6 bulan lepas adalah kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada studio tarinya iaitu Patung Studio. Bagaimanapun siapa sangka, rezeki dalam dunia penyiaran radio masih murah apabila ditawarkan untuk menyertai stesen radio yang bertagline-kan 'Ceriakan Duniamu' ini.
"Sebenarnya tujuan saya berhenti di radio terdahulu bukan kerana ada masalah dengan pihak pengurusan atau pun rakan-rakan di sana. Saya berhenti sebab nak fokus pada studio saya. Dan bila tawaran ni datang, pada masa tu saya rasa rupanya perkhidmatan saya masih diperlukan. Masih ada lagi pendengar yang ingin mendengarkan saya," kata Reza Mohamed ketika di sidang media dan majlis berbuka puasa Suria FM, bertempat di hotel Dua Sentral, semalam.
Reza yang telah pun memula bertugas pada 1 Ogos lalu muncul di studio menerusi segmen Menu Ceria Suria menggantikan penyampai terdahulu iaitu Myra dan Zizi. Bertugas secara solo, Reza tidak perlu digandingkan dengan penyampai wanita lain kerana dengan kredibiliti, suara juga gayanya, anak kelahiran Sibu, Sarawak ni diyakini mampu mempengaruhi kedua-dua gender baik pendengar lelaki dan wanita.
Menerusi kepada kaji selidik yang dibuat oleh pihak stesen radio dan dia tersenarai sebagai salah seorang selebriti radio yang menjadi pilihan ramai. Cara penyampaiannya yang ceria amat serasi dengan format dan “tagline” radio tersebut.
"Saya bersyukur kerana masih ada yang mempercayai bakat saya. Mulanya saya teragak-agak juga mahu menerima tawaran ini. Tapi setelah berbincang dengan keluarga, kawan-kawan malah dengan diri sendiri, jadi saya rasa peluang ni datang hanya sekali.
"Saya bukan menurun taraf saya sepertimana yang dipersoalkan sebelum ini. Itu tidak benar. Di sini juga ada penyampai radio terbaik, ada penyampai radio popular. Dan saya rasa tak salah kalau saya sertai mereka dan berikan yang terbaik walaupun saya tak pernah menang apa-apa anugerah. Tapi saya percaya ramai pendengar yang memberi sokongan pada saya, ujar Reza sekaligus menyangkal dakwaan beberapa pihak apabila mendapat tahu dia meninggalkan Era.FM dan menyertai Suria FM.
Menurutnya lagi, dia cukup terharu dengan sokongan peminat yang tidak putus-putus memberi semangat dan mengalu-alukan kedatangannya semula ke dunia penyiaran radio.
Barisan penyampai Suria FM dan Timbalan Ketua Pegawai Penyiaran Star Group, Kudsia Kahar (tengah)
Ditanya mengenai persiapanya dalam memberikan kelainan, Reza berkata demi memastikan pendengar terus 'melekat' menemaninya sepanjang ke udara, ada beberapa perancangan telah diatur dan sedang dalam perbincangan dengan pihak pengurusan.
"Saya dah buat persiapan dan beberapa strategi baru untuk menambat hati pendengar-pendengar terutama bagi mereka yang berada di pejabat memandang segmen saya diantara jam 10 pagi hingga 1 petang. Apatah lagi bulan Ramadhan ni memang ramai tak keluar makan tengah hari. Jadi tugas saya untuk memastikan mereka terus kekal dengar Suria bukan saja untuk segmen saya tapi untuk segmen seterusnya.
"Alhamdullilah ada di kalangan peminat di Twitter dan Facebook yang mengatakan hilang rindu dapat dengar semula suara saya, dapat dengar balik saya celoteh macam mak nenek. Jadi sokongan mereka tu, memberi semangat lagi untuk saya," katanya.
Pun begitu ketika 'di risik' tentang bayaran yang diterima, baik Reza mahu pun pengurusan Suria FM tidak mahu bercerita lanjut soal itu.
"Bayaran tu bukan ukuran. Tetapi bagi saya, Adi (Adiwati) dan Reza, ketiga-tiga kami datang dari majikan yang sama dahulu, jadi yang penting kami teruja mahu memulakan tugas yang baru bersama Suria FM kerana prestasi yang kami lihat daripada ahli keluarga baru ni dapat mencabar kami dan ini peluang keemasan serta kami rasa bertuah dapat menyertai mereka", celah Kudsia Kahar selaku Timbalan Ketua Pegawai Penyiaran The Star yang ketika itu turut berada di sesi sidang media berkenaan.
- mD