|
|
|
Monday, 09 July 2012 03:03 |
.
Tahniah diucapkan pada Ratu Rock negara, Ella kini telah bergelar isteri kepada juruterbang Azhar Ghazali. Pasangan ini selamat diijab kabulkan pada 7 Julai lalu.
Memetik laporan di gua.com, meskipun bergelar isteri pada usia 46 tahun tidak membuatkan Ella bimbang atau takut tidak dapat menyesuaikan diri kerana sudah betah dengan kehidupan solo. Sebaliknya, Ella yakin dia boleh menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan bimbingan suami.
“Apabila ambil keputusan berkahwin, saya harus bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Saya akan cuba jadi isteri terbaik untuk membahagiakan dia. Saya bersyukur kepada Allah kerana mempertemukan jodoh kami berdua,” ujar Ella gembira.
Ditanya mengapa dia memilih Azhar sebagai teman hidup, Ella memberitahu lelaki itu memahami dirinya dan wujud keserasian di antara mereka berdua.
“Kami telah berkenalan selama sembilan tahun. Sepanjang tempoh itu, kami tidak pernah berpisah, cuma hubungan kami ada pasang-surutnya. Apabila sudah lama tidak bertemu, kami akan saling-merindu. Menyedari hakikat ini, kami akhirnya membuat keputusan untuk berkahwin. Memang sudah jodoh. Allah yang menentukan,” ujar Ella lagi.
Sementara itu, Azhar menambah, dia dan Ella sebenarnya sudah beberapa kali mencuba untuk bersatu, namun tidak berjaya.
Menyentuh tentang jurang usia yang sangat jauh, jejaka berusia 30 tahun ini menjelaskan dia tidak melihat perkara ini sebagai satu masalah untuk perkahwinannya. Jelasnya, dia menjadikan perkahwinan Nabi Muhammad S.A.W bersama Siti Khadijah.
“Perbezaan umur kami tidak menjadi masalah. Saya jadikan perkahwinan Nabi Muhammad dan Siti Khadijah sebagai contoh. Saya yakin dengan kesefahaman, kami boleh mengharungi alam perkahwinan ini. Sama seperti Ella, saya juga akan lakukan yang terbaik untuk menjadi seorang suami yang bertanggungjawab,” ujar Azhar.
Sementara itu minggu hadapan, pasangan pengantin baru ini akan diraikan dalam majlis menyambut menantu yang akan diadakan di kampung pihak lelaki di Muar, Johor. Resepsi besar-besaran hanya akan diadakan pada 1 Disember hadapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
|