Ini yang dinamakan penangan fans fanatik. Dan sebenarnya situasi begini jarang-jarang terjadi sebab peminat Malaysia memang bersopan santun berbanding peminat negara lain.
Tapi pada malam Selasa lalu, dek kerana terlalu teruja, 'rekod tingkah laku cemerlang' itu telah dipecahkan sendiri oleh peminat di lapangan terbang KLIA.
Nak dijadikan hal, seorang polis bantuan wanita pengsan akibat dirempuh segerombolan Queen's (gelaran untuk peminat). Insiden tersebut berlaku kira-kira jam 10.30 malam, ketika fans berasak-asak menyambut ketibaan kumpulan idol sensasi korea, T-ara.
Maklum sajalah, masing-masing mahu menjadi orang pertama yang mengucapkan selamat datang kepada kumpulan yang popular dengan lagu Sexy Love itu.
Menurut seorang peminat yang mahu di kenali sebagai Fikri berkata, sebaik saja para peminat yang sebahagian besarnya terdiri daripada peminat lelaki melihat kemunculan tujuh gadis comel muncul berjalan keluar dari ruang ketibaan, serta-merta fans terus menyerbu masuk ke dalam ruang tersebut (kebiasaannya fans hanya akan menanti diluar). Akibatnya keadaan mula tidak terkawal.
Kemudian beberapa polis lelaki yang bertugas cuba untuk mengawal situasi namun tetap tidak berjaya.
Pihak polis terus mencuba strategi lain dengan menambah beberapa lagi anggota polis untuk mengawal keadaan dan mengiringi T-ara keluar dari lapangan terbang itu.
"Walaupun dah tambah polis sehingga jadi dua layer, keadaan tetap tidak terkawal. Dasyat lah fans kali ni. Mungkin juga kali ni sebab ramai fans lelaki. Tapi fans T-ara memang best! Daebak!", katanya yang turut berada di tempat kejadian.
Asakan demi asakan terus berlaku apabila fans mengejar idola kegemaran mereka itu sehingga ke luar lobi. Bagaimanapun keadaan kembali seperti kala apabila T-ara meninggalkan kawasan tersebut dengan menaiki sebuah van dan menuju ke hotel.
Dan malam tadi, T-ara mengadakan showcase mereka buat pertama kali di sini sekali gus sukses menghiburkan lebih 3000 peminat, bertempat di dewan Wawasan Menara PGRM, Cheras.