.
Selepas lebih kurang dua tahun setengah menjalin cinta, Yuna mengesahkan status hubungannya bersama Qushairi Razali @ Qi kini bukan lagi sebagai pasangan kekasih. Sebaliknya atas persetujuan masing-masing, kedua personaliti popular ni mengambil keputusan untuk memberi lebih ruang kepada karier.
Baru-baru ini timbul spekulasi mengatakan mereka berdua sudah berpisah berikutan mesej-mesej tweet Yuna di laman sosial Twitternya seolah-olah memberi gambaran hubungan dia dan pelakon itu sudah berakhir.
Bertemu penyanyi yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya ni ketika di sidang media konsert Homecoming, Yuna menjelaskan, jarak jauh antara mereka berdua yang menjadi penyebab utama mereka berpisah buat sementara waktu.
.
"Saya dan Qi sekarang... senang kata kami taking a break. Tapi kami masih berkawan baik.
"Keputusan ni kami buat bersama, memandang saya sibuk dan terpaksa tinggal di Amerika. Dia pula di sini. Jadi kami rasa sukar untuk meneruskan perhubungan ni.
"Apa yang penting sekarang, kami fokus pada kerjaya. Saya ada matlamat saya dan banyak lagi impian yang saya belum capai. Dia juga ada arah tuju dia dalam apa yang dia buat sekarang. Pada saya, hubungan cinta bukan lagi pilihan. Jadi biarlah... ", kata Yuna yang turut menafikan perpisahan ini berpunca daripada orang ketiga.
Dalam pada itu pelantun Terukir Di Bintang memberitahu dia menghormati Qi dan menyifat jejaka yang pernah bertakhta dihatinya itu sebagai seorang yang sangat bekerja keras. Tambahnya, sepertimana pasangan lain, mereka juga pernah melalui saat suka, duka dan sesekali berdepan masalah kerana mereka juga manusia biasa. Hanya bezanya mereka sentiasa menjadi perhatian ramai.
.
"Tak ada komitmen lah. Saya bebas nak buat apa yang saya mahu. Dia pun boleh buat apa yang dia nak buat. Tapi kami masih ambil berat antara satu sama lain. Harap, peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk kami. Insyaallah, kalau kami ada jodoh, ada lah", tuturnya lagi sambil tersenyum.
Sebelum mengakhiri perbualan, Yuna dalam nada bergurau berkata, "Saya sekarang single but not available".
.
- Foto-foto oleh SM Amin
- mD