.
Semalam, bertempat The Venue KLCC, kami berkesempatan menghadiri sesi pelancaran album The Best of Rossa. Anda harus beli album ini, ia pasti menjanjikan yang terbaik.
Berpeluang menemuramah Rossa, ruang itu digunakan pihak media sebaiknya dengan mengajak penyanyi genit ini berbicara-berkongsi tentang rutin harian serta puteranya. Tak lupa kami cuba mengorek mengenai kisah kekasinya seperti mana yang dikhabarkan di laman-laman portal hiburan Indonesia.
Tanpa mahu terus bermain tarik tali, pelantun Ku Pinang Kau Dengan Bismillah ini menjelaskan bahwa khabar mengenai kalau pun benar dia sudah membawa teman lelakinya untuk berjumpa dengan kedua orang tuanya, itu adalah sesuatu yang bukan luar biasa bagi keluarganya.
"Saya selalu berterus terang dengan ibu bapa saya. Kalau bawa teman saya jumpa dengan mereka, itu sangat biasa. Anak saya, Rizky juga sudah biasa. Saya selalu bawa teman-teman lelaki berjumpa orang tua saya. Tapi tidak ada apa-apa yang serius mahupun apa-apa perancangan ke depan. Pendek kata, saat ini I am free, single and sexy!", katanya sambil ketawa sekaligus menolak dakwaan dia bakal berkahwin dalam masa terdekat ini.
.
Tatkala ditanya bilakah dia mahu berteman semula, Rossa menjawab dia kini sedang berteman. Minta dijelaskan, diva popular Indonesia ini akhirnya mengakui sebetulnya dia sekarang sedang mengenali hati budi ramai lelaki. Malah dia juga mengaku pernah bercinta dengan lelaki Malaysia.
Namun itu tidak bermakna dia cuba mempermainkan perasaan jejaka-jejaka yang dikenali itu. Jauh sekali memberi harapan palsu. Cuma kata Rossa, dia lebih senang berkawan dan mahu betul-betul mengenali seseorang itu sebelum membuat keputusan untuk kembali bergelar isteri.
"Saya ada mengenali seseorang. Dia seorang ahli perniagaan. Berumur lingkungan 30-an. Bagi saya dalam ramai kenalan lelaki, saya dapat rasakan yang kami punya keserasian yang kuat. Kami banyak persamaan. Ibu bapa saya sudah beberapa kali berjumpa dengannya. Rizky juga senang sama dia.
"Dan yang penting dia tu bukan suami orang. Dia duda. Pokoknya, asal dia single dan available, itu sudah cukup. Dan..., dia tidak botak! (gelak) Saya udah serik dengan lelaki botak", ujar Rossa dengan nada bergurau lalu ketawa.
Dalam pada itu Rossa meluahkan yang dia bosan kerana acapkali ditanyakan padanya tentang kekasih. Kerana itu setiap kali diajak berbicara soal pacaran dia tidak mahu mengulas panjang kerana selagi belum ada kepastian tentang hubungan yang dibina, sealgi itu dia tidak mahu menjaja cerita.
.
Tidak meletakkan target di usia berapa dia mahu membina semula rumah tangga, sebaliknya buat masa sekarang dia masih mahu terus berkarya sambil menguruskan beberapa perniagaannya dan memberi tumpuan kepada keluarga. Soal jodoh? Kata Rossa, dia serahkan pada-Nya.
Terdahulu, Rossa pernah mendirikan rumah tangga bersama Yoyo (anggota band Padi) pada tanggal 18 Mac 2004. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, yang diberi nama Rizky Langit Ramadhan yang kini berusia 6 tahun. Rossa dan Yoyo bercerai pada 14 Julai 2009.
Perkembangan lain, pada 12 Oktober ini Rossa akan berangkat ke tanah suci, Mekah, bagi mengerjakan ibadah haji. Rossa ke sana seorang diri dengan mengikuti rombongan sebuah agensi bersama jemaah lain. Sebelum ini Rossa pernah menunaikan umrah sebanyak tiga kali.
- mD