Sat07222017

LAST_UPDATEFri, 21 Jul 2017 11pm

Indonesia Tarik Balik Larangan Bekal Pembantu Rumah

JAKARTA: Kerajaan Indonesia menarik balik keputusan menghentikan penghantaran rakyatnya menjadi pembantu rumah ke luar negara selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa negara berhubung hak perlindungan golongan itu.

Beribu-ribu wanita Indonesia dilaporkan bekerja di Malaysia, Hong Kong, Singapura dan Taiwan setiap tahun kerana tertarik dengan gaji yang tinggi walaupun wujud dakwaan mereka dijadikan mangsa pemerdagangan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Jakarta sebelum ini berkata, mereka akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke luar negara bermula tahun ini dengan alasan untuk melindungi rakyatnya.

Namun, wujud kebimbangan berhubung keputusan itu kerana desakan kemiskinan yang tinggi dalam kalangan rakyat Indonesia akan menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik untuk berhijrah ke negara lain secara haram.

Pengarah Perlindungan dan Penempatan Pekerja Indonesia di Luar Negara, Soe Hindhar­no berkata, kerajaan tidak akan menghalang wanita Indo­nesia ke luar negara tetapi mahukan jaminan ke­selamatan untuk mereka.

“Itu termasuk kerja-kerja berlebihan sehingga mendatangkan eksploitasi kepada rakyat kami. Sebagai contoh, pembantu rumah Indonesia tidak boleh dipaksa untuk memandikan anjing peliharaan majikan,” katanya.

Sementara itu, keputusan berkenaan disambut baik oleh aktivis hak asasi manusia, namun menegaskan masih banyak perlu dilakukan bagi membanteras isu pemerdagangan manusia terma­suk memastikan golongan ber­kenaan mengetahui hak ketika bekerja di luar negara.

– REUTERS