Mon09252017

LAST_UPDATEMon, 25 Sep 2017 8pm

Pelajar 12 Tahun Dari Sabah Catat 11.70s 'Sprint' 100m

KUALA LUMPUR: Pelajar berusia 12 tahun dari Ranau, Sabah, Jad Rizalman Washif akan dipantau oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas dia mencatatkan masa 11.70 saat dalam acara 100 meter baru-baru ini.

Jad Rizalman merakamkan masa tersebut ketika me­nyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Ranau pada hujung bulan lalu.

Catatan 11.70s itu juga berjaya memperbaharui rekod kejohanan MSSD Ranau yang sebelum ini adalah 12.80s. Dia juga dipilih sebagai Olahragawan MSSD Ranau Bawah 12 tahun.

Masa yang dirakamkan oleh Jad Rizalman itu juga tidak jauh ketinggalan daripada rekod 100m Bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) iaitu 11.17s dilakukan oleh Danial Nuqman Khairul Nizam dari Pahang pada 2013.

Ketua jurulatih olahraga KOM, Zainal Abas berkata Jad Rizalman kini berada dalam radar pihaknya untuk diketengahkan.

“Kami akan terus menilai pres­tasinya selepas ini terutama dalam kejohanan MSSM dan MSSS (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Sabah).

“Saya juga dimaklumkan dia adalah adik kepada seorang bekas atlet pecut Jad Adrian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Jad Rizalman yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Lohan di Ranau dilihat mampu melangkah lebih jauh.

- Utusan Malaysia