Wed03292017

LAST_UPDATEWed, 29 Mar 2017 12pm

Cub Prix Rasmikan Di Litar Tangkak

KUALA LUMPUR: Pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas hujung minggu ini cukup istimewa kerana ia akan menjadi perlumbaan rasmi pertama yang diadakan di Litar Lumba Tangkak, Gerisik, Johor.

Litar milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepanjang 1.025 kilometer itu siap dibina pada penghujung 2016 dan mengikut spesifikasi yang disyorkan oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Ia memiliki keseimbangan dari segi kelajuan serta kemahiran teknikal, selain bersesuaian dengan penganjuran sukan-sukan permotoran tempatan termasuk Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Litar tersebut mempunyai laluan lurus terpanjang sejauh 290 meter dan memiliki tujuh selekoh kiri serta dua selekoh kanan, yang mana laluan melawan arah jam akan digunakan untuk perlumbaan Cub Prix pada Sabtu dan Ahad ini.

“Tiga selekoh awal memerlukan kelajuan jentera manakala gabungan selekoh kiri-kanan dari selekoh 4 ke selekoh 6 dilihat sebagai faktor penting dalam menentukan kemenangan pelumba,” kata Ketua Operasi Cub Prix, Shafry Azizan.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Litar Lumba Tangkak pada hujung minggu ini turut dimeriahkan dengan kehadiran delegasi Persekutuan Sukan Automobil dari Turkmenistan yang melakukan lawatan sambil belajar tentang kemudahan litar dan pengurusan acara perlumbaan.

Sesi latihan rasmi akan bermula pada jam 9.30 pagi Jumaat dan perlumbaan akhir akan bermula pada jam 12 tengah hari Sabtu. Orang ramai boleh menyaksikan kedua-dua hari perlumbaan secara percuma. Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.

- Utusan Malaysia