Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 4pm

Laporan Kegembiraan Dunia 2017 Dedah M’sia Semakin Gembira – Rakyat Kongsi Apa Buatkan Mereka Bahagia

APA yang membuatkan anda gembira?

Kegembiraan adalah perkara subjektif dan pastinya berbeza mengikut setiap individu, tetapi setiap makna gembira pastinya suatu perasaan yang akan membuatkan kita bermotivasi untuk meneruskan kehidupan seharian kita.

Secara tidak langsung, kegembiraan adalah matlamat asas bagi setiap orang dalam hidup – tanpa mengira bangsa, agama, jantina, umur, status ataupun pekerjaan.

Tetapi sejauh mana rakyat Malaysia gembira? Walaupun seolah-olah banyak "masalah" yang kita luahkan, ternyata negara kita adalah antara kelompok yang lebih gembira berbanding beberapa negara maju lain di Asia seperti Jepun dan Korea Selatan.

Menurut Laporan Kegembiraan Dunia 2016 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia berada di tangga ketiga paling gembira dalam kalangan negara Asia Tenggara lain, yang mana menyaksikan Singapura berada di tangga pertama, diikuti Thailand (ke-2).

Laporan tersebut juga mendedahkan Malaysia berada di tangga ke-47 paling gembira di dunia dalam senarai 157 negara di seluruh dunia.

Sementara dalam senarai terbaharu Laporan Kegembiraan Dunia 2017 yang disiarkan semalam, Malaysia berjaya memperbaharui kedudukan dalam ‘senarai kegembiraan’ dengan melonjak naik daripada kedudukan ke-47 kepada kedudukan ke-42 di dunia.

Sempena sambutan Hari Kegembiraan Antarabangsa yang disambut di seluruh dunia setiap tahun pada 20 Mac (semalam) sejak 2013, Malaysian Digest mengambil peluang ini untuk memberi penghormatan kepada insan-insan tersayang yang gembira menjalani kehidupan mereka.

Kegembiraan Adalah Saya dan Gitar Saya

Meor membuat persembahan di lokasi biasanya di KL SentralMeor membuat persembahan di lokasi biasanya di KL Sentral

Jika anda secara kebetulan pergi ke KL Sentral, kemungkinan anda pasti melihat seorang lelaki pertengahan umur sedang memetik gitar di hadapan pintu masuk ke stesen KTM KL Sentral.

Pemuzik jalanan atau buskers itu, Meor Yusof Aziddin, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Meor, 50, telah membuat persembahan jalanan di tempat yang sama di KL Sentral sejak awal penubuhan hab pengangkutan Kuala Lumpur.

"Saya telah membuat persembahan jalanan sejak tahun 1985 lagi sebaik sahaja Pasar Seni selesai pengubahsuaian, di mana itu adalah tempat pertama saya membuat persembahan.

“Selepas KL Sentral dibuka, saya berpindah ke sini," cerita Meor, yang telah membuat persembahan di lokasi yang sama bersama-sama gitar akustikya, pembesar suara mudah alih serta mikrofon berdiri.

Lelaki berasal dari Bruas, Perak itu mula belajar bermain gitar pada usia muda dan kebanyakkannya menyanyikan lagu-lagu Melayu, tetapi beliau turut mempersembahkan lagu-lagu popular bahasa Inggeris.

Walaupun sebahagian besar hidupnya dihabiskan mencari nafkah daripada persembahan jalanan di tempat-tempat awam, Meor turut berkesempatan untuk menulis lagu untuk syarikat rakaman.

Sehingga kini, beliau telah membuat tujuh album dan telah pun bekerjasama dengan komposer dan penyanyi legenda negara, M. Nasir, bagaimanapun Meor lebih suka untuk menjadi seorang ahli muzik yang bebas dan tidak terikat dengan mana-mana syarikat.

"Saya suka bermain muzik di tempat awam, ia membuatkan saya gembira. Ketika saya baharu bermula, saya melakukannya hanya untuk seronok. Tetapi selepas membuat persembahan selama bertahun-tahun, saya lihat persembahan jalanan sebagai satu tanggungjawab. Saya rasa seperti saya bertanggungjawab untuk membuat pendengar saya gembira," katanya, sambil menambah bahawa persepsi mengenai buskers juga telah berubah. 

“Persepsi berbeza sekarang. Orang ramai lebih menerima buskers, anda boleh melihat mereka di mana-mana - dari stesen LRT ke pusat membeli-belah, orang ramai menderma wang kepada pemuzik jalanan," ujarnya, sambil menambah bahawa kerajaan juga menyokong kumpulan buskers dan kerap mengupah mereka membuat persembahan dalam acara-acara tertentu, disamping menyediakan platform kepada pemuzik untuk mempamerkan bakat mereka.

Selain bermain muzik, Meor juga suka menulis.

"Saya benar-benar suka menulis. Selain menghasilkan album saya, saya juga menerbitkan beberapa buah buku. Di internet, saya kerap menulis untuk The Malay Mail Online dan The Malaysian Insider sebelum ia ditutup. Saya juga menulis di laman web saya sendiri, www.pestajiwa.net dan kebanyakkan penulisan saya berkisar mengenai muzik dan pengalaman hidup saya," kata Meor.

Pada masa ini, meskipun usianya telah menginjak lebih lima dekad, semangatnya untuk bermain muzik tidak pernah padam.

"Saya gembira saya boleh mencari rezeki daripada bermain muzik. Ia tidak banyak, tetapi saya menyukainya,” kata lelaki itu yang tidak pernah mengenal erti penat berdiri ditempatnya bersama beg gitar yang terbuka, album masa lalu serta buku-bukunya untuk dijual.

Cari Kegembiraan Di Kedai Buku Dan Masjid

A Samad Said and isterinya, Salmi Manja.A Samad Said and isterinya, Salmi Manja.Datuk A. Samad Said merupakan ikon sastera dan sasterawan negara yang telah banyak menyumbang kepada kesusasteraan Malaysia, tetapi beliau sentiasa hidup dalam kehidupan yang sederhana - tidak ada kereta, tidak berpakaian mewah, sebaliknya hanya isteri tercinta di sisi, ke mana sahaja beliau pergi.

Pada usia 82 tahun, tokoh sasterawan negara itu masih sihat dan menikmati hari-hari dengan bersama keluarga dan bahan bacaan di rumahnya yang terletak di Bangsar Utama.

"Saya adalah seorang sastera, jadi ia menjadi kebiasaan saya suka membaca. Selalunya isteri dan saya akan pergi ke kedai-kedai buku seperti Kinokuniya untuk mencari buku-buku baharu.

"Biasanya buku (dijual) sangat mahal, tetapi jika buku itu menarik perhatian saya, saya akan membelinya,” kata anak kelahiran Belimbing Dalam, Melaka itu, yang sering dilihat di sekitar Kuala Lumpur dan ditemani oleh isterinya, Salmi Manja.

Ditanya mengenai apa lagi yang membuatkan beliau gembira dalam hidupnya, penulis novel terkenal, Salina itu berkongsi bahawa beliau suka menghabiskan masa di masjid.

"Enam hari dalam seminggu, saya akan menghabiskan masa di masjid berdekatan dengan rumah saya," kata A.Samad, yang juga dikenali sebagai Pak Samad dalam kalangan generasi muda.

Pak Samad mula menulis puisi dan novel sejak tahun 1954, kemudian bekerja di Utusan Malaysia, Berita Harian, serta dalam pelbagai penerbitan.

Selama bertahun-tahun beliau membesar menjadi salah seorang ahli bahasa yang cukup hebat dalam negara kerana hasil karyanya yang penting untuk warisan sastera Melayu.

Hasil kerja dan karya hebat beliau telah membolehkan beliau menerima pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Penulis Asia Tenggara pada tahun 1979, selain diiktiraf sebagai “Advocate of Arts”.

Pada tahun 1985, beliau dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara atas sumbangan sastera beliau kepada negara. Salah satu puisi beliau yang terkenal adalah, The Dead Crow, mengisahkan tentang alam sekitar, telah diterjemahkan dan digunakan sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran Bahasa Inggeris bagi pelajar sekolah menengah.

Sehingga kini, perasaan cintanya terhadap pemulisan tidak pernah luntur, bezanya beliau memilih untuk tidak menyiarkan hasil penulisannya.

"Saya pernah menulis, dan saya masih lakukan kerana saya menyukainya, cuma saya tidak menyiarkannya lagi,” kata ikon sasterawan negara itu dengan rendah diri.

Mengajar dan Belajar Buat Nenek Ini Gembira

Bagi Hajah Jariah Sualman, seorang nenek yang tinggal di Banting, Selangor, untuk kekal bahagia pada usia emasnya, beliau suka mengajar orang ramai yang tinggal dalam komunitinya.

"Sudah tentu, perkara nombor satu yang membuatkan saya gembira adalah apabila saya melihat cucu saya dan anak-anak mereka. Hajah Jariah Sualman.Hajah Jariah Sualman.

"Tetapi apabila mereka tiada di rumah, saya suka mengajar. Saya membuka kelas al-Quran untuk semua golongan wanita dalam komuniti saya,” kata Jariah, yang mencari nafkah dengan menjadi guru agama di sebuah sekolah Islam.

Wanita berusia yang tekun itu akan mengadakan kelas di rumahnya pada setiap hari bekerja, iaitu dari Isnin hingga Khamis bermula jam lapan pagi dan tidak mengenakan sebarang bayaran.

Pelajarnya terdiri daripada warga emas dan golongan belia. Selain mengajar, beliau juga gembira dengan kehadiran pelajar dan rakan-rakannya semasa kelas tersebut.

“Saya benar-benar suka berkongsi pengetahuan saya, ia membuatkan saya gembira. Sekarang, saya tidak berapa sihat seperti dulu-dulu, tetapi saya masih suka mengajar orang,” kata Jariah.

Apabila Jariah tidak mengadakan kelas bacaan al-Quran, beliau akan menghabiskan masanya dengan mengambil bahagian dalam acara komuniti di masjid-masjid sekitar.

"Terdapat kelas oleh ustaz-ustaz yang diadakan tiga hari seminggu di masjid. Saya selalu pergi ke kelas-kelas ini kerana saya percaya usia bukan penghalang untuk sesiapa sahaja daripada berhenti belajar.

"Selagi saya sihat saya akan terus mengajar orang ramai, terus belajar dan menimba ilmu baharu dari ustaz-ustaz,” ujar Jariah.

Bermain Papan Luncur Dengan Rakan Buat Hidup Lebih Gembira, Bebas Stres

Bagi kumpulan remaja ini pula, bertemu dengan rakan-rakan yang mempunyai fikiran dan minat yang sama terhadap sukan papan luncur adalah salah satu cara untuk mereka lari daripada tekanan kerja harian, dan menjalani kehidupan yang gembira.

Kumpulan peminat sukan papan luncur di sekitar Petaling Jaya dan Damansara itu akan berkumpul pada setiap malam minggu di sebuah tempat letak kereta sejak empat tahun lalu, dengan kebanyakkan daripada mereka melakukan antara lima hingga sembilan pekerjaan.

Di sebalik rutin kerja mereka yang padat itu, bermain papan luncur dengan rakan-rakan merupakan hobi yang boleh membuatkan mereka gembira.

"Pada mulanya, pengawal keselamatan dan polis bantuan memantau kami, mungkin mereka bimbang kami akan merosakkan kereta.

“Tetapi lama-kelamaan, mereka sedar kami tidak melakukan apa-apa kerosakan, jadi mereka biarkan saja kami (bermain papan luncur). Tidak banyak kereta diparkir di sini pada waktu malam,” kata Naqib Idris, yang sudah lama mengambil bahagian dalam sesi bermain papan luncur di kawasan tersebut.

Manakala salah seorang peluncur, Shen Haou berkata, jumlah peluncur yang datang pada setiap sesi adalah berbeza-beza, tetapi kebanyakkan peluncur tetap adalah kira-kira enam hingga lapan orang.

"Ada kalanya sehingga 20 orang datang, tetapi ia bergantung kepada trend. Orang hanya akan bermain papan luncur dalam masa-masa tertentu. Dari masa ke masa, trend tersebut mula pudar dan orang akan lupakannya.

"Tetapi bagi mereka yang benar-benar gembira bermain papan luncur, mereka akan kekal,” kata Shen, yang sering membawa bersama kamera bagi merakam aksi rakan-rakannya bermain papan luncur.

Selepas ‘kaki-kaki’ luncur itu penat bermain, mereka akan meluangkan masa dengan melepak di kawasan sekitar dan bertukar-tukar cerita menarik sepanjang minggu.

Kebiasaannya, setiap sesi permainan mengambil masa kira-kira dua jam dan akan tamat pada jam 11 malam, memandangkan mereka perlu pulang awal untuk menjalani rutin harian sebagai pekerja pada hari berikutnya.

Sebar Aura Positif Dalam Talian Adalah Kegembiraan

Foto: Laman Facebook Arwind Kumar Foto: Laman Facebook Arwind Kumar Arwind Kumar merupakan pembuat video di laman sosial Facebook dan YouTube. Memiliki lebih 200,000 ‘followers’ di laman Facebook, pelajar daripada Universiti Sunway itu telah menghasilkan banyak video berunsur komedi yang disiarkan di dalam internet, dan kebanyakkan daripada video tersebut menjadi viral.

Beliau terkenal dengan watak sebagai seorang “mak cik”, dengan gelaran Makcik Rosmah atau MCR, yang memainkan karakter seorang yang lantang, sinis serta terbuka.

"Saya mula membuat video pada tahun 2012, ketika itu tidak ada kandungan khas dan saya hanya melakukannya untuk suka-suka. Ia hanya mula berkembang selepas saya memegang watak ‘makcik’.

“Saya gunakan watak tersebut untuk mengulas mengenai isu-isu semasa dan pendidikan,” kata Arwind, yang akan memakai selendang berwarna hijau di kepalanya setiap kali dalam karakter ‘makcik’ dan menyuarakan pendapatnya mengenai isu pendidikan seperti SPM dan UPSR.

Video paling popular yang dihasilkan Arwind, di mana MCR memberi komen mengenai selebriti dalam talian, King Coco, nyata telah membuat ramai netizen ‘pecah perut’.

Video tersebut telah mendapat tontonan lebih daripada 1.5 juta di laman Facebook dan telah membuka banyak peluang untuk beliau.

"Selepas video Coco meletupkan, saya menerima begitu banyak permintaan untuk bekerjasama. Beberapa majalah mahu menemubual saya, RTM mahu bekerja dengan saya. Saya terkejut!," dakwa pemuda itu yang berharap agar video dihasilkannya dapat menyebarkan aura positif dalam kalangan penonton beliau. 

"Matlamat utama video saya adalah untuk membantu orang ramai gembira, bukan melalui cara lain, tetapi melalui diri mereka sendiri. Saya rasa video saya telah mencapai matlamat itu, kerana saya menyedari bahawa ramai peminat saya sangat bersikap positif dan membuatkan saya begitu gembira kerana video saya berjaya diterima orang ramai,” kata Arwind.

Setiap kali menonton video Arwind, seseorang mungkin terfikir bahawa beliau adalah seorang yang sangat terbuka dan bersifat ekstrovert. Bagaimanapun, beliau tidak menggambarkan dirinya dalam sifat sedemikian.

“Berbalik pada zaman sekolah, saya dikenali sebagai seorang yang pendiam, lelaki yang suka menyendiri. Saya seorang yang sangat pemalu; saya tidak tahu untuk berkawan dan tidak mempunyai keyakinan untuk bercakap dengan orang. Tetapi selepas saya mula buat video, dan orang meninggalkan komen seperti “Oh, awak buat hari saya bahagia”, “awak buat saya tersenyum”, saya mula sedar bahawa orang ramai seronok menonton kandungan video saya. Selepas itu saya ambil keputusan untuk tidak lagi bersikap introvert dan memberi apa yang para penonton saya mahukan.”

Arwind menganggap dirinya sebagai seorang yang sangat positif. Setiap kali berdepan dengan kesulitan, beliau melihat itu sebagai satu peluang untuk memajukan diri.

Selain menjadi seorang yang bermotivasi, beliau juga sangat menghargai maklum balas baik yang diterima daripada penontonnya yang sentiasa kekal positif.

Menurut Arwind, momen yang paling mengembirakan beliau adalah apabila suatu hari beliau pulang ke rumah dan melihat ibu bapanya sedang menonton videonya menerusi telefon bimbit mereka.

"Mereka berkata kepada saya, 'Wow, kamu sebenarnya seorang yang kelakar, saya tidak tahu kita mempunyai anak yang lucu'," kata beliau.

"Saya dapat lihat bahawa saya akan melakukan perkara ini untuk jangka masa panjang kerana saya bercita-cita mahu menjadi seorang pemberi pengaruh,” ujar lelaki kelakar itu.

Jadi, sekarang anda telah mendengar kisah-kisah mereka, adakah merasakan ia memberi inspirasi kepada anda untuk gembira dalam hidup? Hidup tidak akan bermakna tanpa sebarang cabaran dan kesusahan, walau bagaimanapun, pada penghujungnya, ia mengenai bagaimana kita melakukan yang terbaik untuk sebenar-benarnya mendefinisikan kegembiraan kita.

Seperti yang pernah dikatakan oleh Mahatma Gandhi; “Kegembiraan adalah bila apa yang anda fikir, ucap dan lakukan adalah keharmonian.”

- mD