Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Bersih 3.0: Ada Peniaga Ambil Kesempatan Tuntut Ganti Rugi

Thursday, 31 May 2012 10:04

GOMBAK: Hanya peniaga dan penjaja kecil yang benar-benar mengalami kerugian, layak menuntut ganti rugi melalui khidmat guaman sukarela yang bekerjasama dengan Majlis Bertindak Peniaga-peniaga dan Penduduk Warga Kota.

Ini kerana, terdapat peniaga tidak berkenaan yang mengambil kesempatan membuat tuntutan walaupun kawasan perniagaan mereka tidak terjejas, termasuk membuat tuntutan dalam jumlah tidak munasabah.

Yang Dipertua Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPKMWPKL), Datuk Bahrin Razak berkata, menerusi data yang akan diperoleh daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihaknya menganggarkan kira-kira 2,000 peniaga berlesen benar-benar terjejas.

Menurutnya, paling penting adalah, tuntutan ganti rugi yang diperoleh kelak perlu sampai terus kepada peniaga yang terlibat, bukannya kepada pihak persatuan.

“Ada pihak mengambil kesempatan mahu menuntut ganti rugi walhal kawasan perniagaannya tidak terjejas, kerana berdasarkan statistik yang ada, jumlah peniaga berlesen dikenal pasti terlibat adalah berjumlah kira-kira 2,000 termasuk 500 di pasar malam Jalan Tunku Abdul Rahman dan 340 di kawasan Masjid India.

“Begitu juga peniaga mendakwa mengalami kerugian dalam jumlah yang lebih daripada kerugian sebenarnya. Kita mahukan keadilan, tidak mahu semua peniaga membuat tuntutan tidak benar,” katanya pada sidang media, bersama Pengerusi  Majlis Bertindak Peniaga-peniaga dan Penduduk Warga Kota, Datuk Jamal Md Yunos, di Restoran Sekinchan Ikan Bakar, di sini, semalam.

Hadir sama, beberapa wakil peguam dan peniaga yang menyerahkan borang butiran ganti rugi untuk urusan tuntutan di peringkat mahkamah.

Sebelum ini pihak Majlis Bertindak Peniaga-peniaga dan Penduduk Warga Kota sudah menyatakan penglibatan seramai 100 peguam sukarela yang bekerjasama dalam membantu memperjuangkan hak peniaga terjejas.

Sementara itu, Jamal berkata, di peringkat panel peguam, borang-borang yang diperoleh akan diteliti dan dikaji dari segi kebenaran laporan ganti rugi yang dibuat.

Katanya, ia akan dibuat secara profesional apabila segala hal berhubung latar belakang, dan  kesahihan lesen akan merujuk kepada data statistik yang akan diperoleh.

“Kami akan bekerjasama dengan DBKL untuk pihak peguam mengemukakan saman kepada penganjur Bersih 3.0 yang bertanggungjawab berdasarkan surat permohonan penganjuran perhimpunan tersebut yang mereka hantar kepada DBKL,” katanya.

Sehingga semalam, lebih 100 peniaga tampil menghantar borang laporan ganti rugi kepada pihak Majlis Bertindak Peniaga-peniaga dan Penduduk Warga Kota, dan peniaga lain berpeluang berbuat demikian sehingga penghujung bulan Jun, sebelum proses tindakan undang-undang diteruskan.



Sumber: Sinarharian 






 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.