|
Aidil Syukri
|
|
Wednesday, 01 February 2012 17:13 |
|
KUALA LUMPUR, 1 FEBRUARI, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan melontar kepala babi ke dalam kawasan masjid.
Presidennya, Dato’ Ibrahim Ali, menggesa setiap ahli politik samada dari Umno, MCA, Gerakan, PAS, DAP dan PKR supaya tidak hanya mengeluarkan kenyataan mengutuk sebaliknya membuat laporan polis berhubung perkara tersebut sekiranya mereka benar-benar pemimpin yang bertanggungjawab.
“Sebelum ini sudah tiga masjid dilempar kepala babi. Kini yang terbaru di Masjid Nurul Iman Batu 18 Rawang yang menjadi masjid ketiga dalam negeri Selangor sejak Pakatan Rakyat memerintah,” kata Ibrahim.
“Pihak polis harus menyiasat perkara ini dengan segera dan bersungguh-sungguh dan buktikan profesionalisme kepolisan supaya dapat mendakwa mereka yang terlibat,” tambah beliau.
Katanya, Perkasa berasa hairan kerana sehingga kini masih tiada sebarang pendakwaan dilakukan berhubung keempat-empat insiden tersebut.
“Sehingga kini tiada langsung pengkhianat-pengkhianat yang membaling kepala babi di empat masjid tersebut yang didakwa. Perkasa hairan mengapa masih tiada pendakwaan.
“Perkasa juga mencadangkan supaya setiap masjid dengan wang tabungan mereka yang ada dan dengan bantuan Jabatan Agama Islam agar boleh menyediakan pengawal keselamatan dua syif,” tambah Ibrahim.
Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menambah kewujudan pengawal keselamatan adalah penting memandang kejadian tersebut semakin kerap berlaku.
|