Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Penyamun Hentak Kepala Guna Botol

  
Tuesday, 18 September 2012 09:02

KUCHING: Seorang ahli perniagaan bukan saja dirompak, malah kepalanya turut dihentak dengan botol sehingga berdarah oleh tiga perompak sebaik selesai menyambut hari lahir bersama rakan di sebuah kelab malam di Jalan Petanak, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa, 25, dikatakan berseorangan di luar kelab malam sebelum didatangi tiga lelaki tidak dikenali berpura-pura bertanyakan waktu ketika itu pada jam 2 pagi.

Sumber berkata, ketika sedang berbual, seorang suspek tiba-tiba mengambil botol lalu mengetuk kepala mangsa dari belakang.

“Pada masa sama, berlaku pergelutan antara mangsa dengan ketiga-tiga suspek dan kejadian disedari pengawal keselamatan kelab berkenaan yang cuba memberikan bantuan, tetapi turut dibelasah.

“Suspek juga sempat merentap rantai dipakai mangsa sebelum mengambil beberapa barangan berharga melarikan diri. Akibat serangan itu, mangsa cedera di kepala serta lebam di tangan dan badan,” katanya.

Sumber berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM10,000 apabila rantai, telefon bimbit serta jam tangan lesap.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Padungan pada pagi kejadian,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dan siasatan mengenal pasti suspek masih dijalankan.



- Harian Metro


 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.