Malaysian Digest - Malaysia News and Current Affairs

Malaysia Boleh Menjadi Model Keharmonian Kaum, Kata Pengawal Bandar Raya New York

  
Monday, 17 September 2012 14:00

NEW YORK: Seorang ahli politik bandaraya New York, yang berharap lawatannya ke Malaysia tidak lama lagi akan membantu menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia dan bandaraya New York, menyifatkan Malaysia boleh menjadi model bagi keharmonian kaum.

Anak kelahiran Taiwan, John Liu, yang juga pengawal bandaraya New York, berkata beliau menanti penuh harapan untuk melawat Malaysia yang mana keharmonian pelbagai kaumnya begitu unik di dunia.

"Keharmonian kaum dan agama di Malaysia adalah satu model. Sesungguhnya, kami di Amerika boleh banyak belajar daripada kewujudan bersama keharmonian pelbagai kaum di Malaysia," kata Liu dalam satu temu bual dengan Bernama pada Sabtu malam semasa satu jamuan di restoran Jing Fong di Chinatown New York, yang dihoskan oleh Persatuan Amerika Malaysia (MAA) bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-28 dan juga Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55.

Liu berkata lawatannya bertujuan memupuk hubungan ekonomi dan perniagaan lebih rapat bukan sahaja antara Malaysia dan bandaraya New York tetapi juga antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Katanya bidang khusus perniagaan itu akan dikenal pasti sebaik butiran lawatannya dimuktamadkan.

Walaupun tempoh masa lawatannya belum ditetapkan lagi, Liu yang baru pulang dari lawatan ke Korea Selatan dan Taiwan berharap ia akan dibuat tidak lama lagi.

Pada majlis itu, Liu menyampaikan plak penghargaan kepada dua rakyat Malaysia di bandaraya ini iaitu Naib Presiden Tourism Malaysia yang berpejabat di New York, Salahuddin Mohd Ariffin dan Pengerusi MAA Kim Bong atas sumbangan cemerlang mereka memupuk hubungan antara bandaraya New York dan Malaysia.

Salahuddin sentiasa menyelaras acara-acara di sini yang menyediakan satu platform yang baik untuk mempamer ciri-ciri Malaysia sebagai destinasti yang menarik dengan Bong sentiasa menggalakkan hubungan dengan bandaraya New York melalui MAA.

Sebagai saluran utama komunikasi bukan sahaja antara Malaysia dan Amerika tetapi juga di kalangan rakyat Malaysia sendiri, MAA membantu menyelesaikan beberapa 'kes kesukaran' membabitkan rakyat Malaysia.

Pada majlis itu, Konsul Jeneral Malaysia di New York, Syed Bakri Syed Abdul Rahman, berkata MAA sentiasa membantu dalam mendekati masyarakat Malaysia.

“Seorang wakil MAA berada di konsulat untuk membantu pemohon rakyat Malaysia yang menghadapi masalah lain termasuk bahasa semasa mendapatkan khidmat konsular. MAA juga membantu menghantar abu rakyat Malaysia yang meninggal dunia di sini.

Kira-kira 500 tetamu menghadiri majlis itu, kata Bong yang mendakwa MAA mempunyai 10,000 anggota.

“Lebih 80 peratus tetamu pada majlis ini adalah rakyat Malaysia manakala bakinya adalah generasi kedua rakyat Malaysia dan rakyat negara lain," katanya kepada Bernama.

Wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hussein Haniff, memuji peranan MAA sebagai pemangkin antara pejabat kerajaan Malaysia terutama konsulat itu dan masyarakat sambil meminta anggota MAA menggesa rakan Amerika mereka melawat Malaysia.

Beliau melihat ada persamaan antara Malaysia dan Amerika dengan berkata:"Kita mempunyai persamaan. Sesungguhnya, kepelbagaian kaum dan budaya adalah kekuatan kedua-dua negara dan Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah ekonomi maju menjelang tahun 2020.

Katanya majlis MAA berlangsung pada 16 September iaitu hari di mana Sarawak dan Sabah menyertai Malaysia.

Di samping pelbagai juadah yang dihidangkan di restoran itu, persembahan tarian Malaysia yang berwarna warni turut diadakan oleh 'Oshedancer Troupe' yang juga membuat persembahan pada sambutan Hari Kemerdekaan di kedutaan Malaysia pada 13 Sept.


 - Bernama
`

 

 

 

The views expressed here are solely of the users and do not necessarily reflect those of Malaysian Digest.